15 June 2008

Ali Rustam minta blog palsu guna namanya disiasat

MELAKA: Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam meminta polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak tertentu yang mewujudkan blog palsu menggunakan nama beliau.

Beliau berkata blog palsu itu ialah http://mohamadalirustam.blogspot.com dan http://mohdalirustam2.blogspot.com.

"Blog saya yang sebenar ialah www.mohdalirustam.com," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Mohd Ali berkata kedua-dua blog palsu itu masih aktif dengan menyiarkan artikel seolah-olah beliau yang menulisnya dan terdapat komen terhadap artikel berkenaan.

Ada pihak tertentu juga memasukkan komen dalam blog bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan nama beliau sedangkan komen itu bukan datang daripadanya.

Mohd Ali berkata tindakan pihak berkenaan tidak boleh dibiarkan kerana orang akan fikir artikel dalam blog palsu itu dilakukan beliau.

Percaya bahawa pihak yang melakukan perbuatan itu mempunyai niat yang tidak baik terhadap dirinya, Mohd Ali berkata satu laporan polis berhubung perkara itu dibuat oleh Pegawai Khas Blog beliau, Ahmad Faisal Mohd Yunos di Balai Polis Melaka Tengah di sini, Ahad. BERNAMA

www.mstar.com.my

No comments:

Post a Comment