08 May 2008

Yee Wei Qing mangsa rogol dan bunuh

Seorang gadis berusia 17 tahun ditemui mati dibunuh dan dipercayai dirogol sebelum mayatnya disumbat di dalam but sebuah kereta di Chemor, dekat sini, awal pagi ini.

Mayat Yee Wei Qing yang disumbat dalam guni ditemui dalam but kereta yang terletak berhampiran sebuah rumah di Kuala Kuang, Chemor kira-kira jam 3 pagi oleh abangnya, Yee Si Van, 35.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek, di sini dipercayai mati dalam tempoh 24 jam lalu, sebelum ditemui abangnya dengan bantuan polis.

Beliau berkata, polis menerima laporan kira-kira jam 3 pagi tadi dan bergegas ke tempat kejadian bagi menyiasat penemuan kesan darah dalam sebuah rumah.

"Semasa diperiksa, polis bersama Si Van menemui mayat mangsa yang masih berbaju dalam but kereta dan polis turut menemui sebatang kayu yang dipercayai dijadikan senjata untuk membunuh mangsa berikutan ada kecederaan di kepala mangsa.

"Berdasarkan siasatan awal, kejadian pembunuhan itu dipercayai berlaku antara jam 7 pagi hingga 2 petang semalam di rumah berkenaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

http://www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment