06 May 2008

"Tidak gunalah graduate daripada Oxford University"

Kerajaan kini berada dalam fasa 'empire strikes back' atau politik balas dendam apabila mengambil tindakan menyoal siasat pengendali laman web Malaysia-Today, Raja Petra Kamaruddin atas dakwaan menghasut yang boleh mengancam ketenteraman negara.

Lim Kit Siang (Ipoh Timur-DAP) dalam sesi perbahasan titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Al-wathiqu billah al-Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Shah menganggap apa yang sedang berlaku ke atas Raja Petra sekarang ini adalah meriupakan implikasi keputusan pilihan raya umum yang lalu.

"Adakah semua ahli parlimen bersetuju dengan tajuk artikel Raja Petra yang berbunyi,'Let send Altantuya's murderer to hell' ? Saya bertanya sedemikian bukan merujuk kepada sesiapa secara khusus tetapi atas dasar keadilan dan kebenaran, kita sememangnya mahukan pembunuh beliau dihukum," penegasan Lim disambut dengan sokongan seluruh ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Selanjutnya, Lim meneruskan hujah sambil mempertikaikan tindakan undang-undang yang sedang diambil oleh pihak kerajaan ke atas Raja Petra dengan mengenakan Akta Hasutan.

Ia disangkal oleh Khairy Jamaludin (Rembau-BN) yang mempertikaikan mengenai persoalan syurga neraka yang tidak sewajarnya dibincangkan memandangkan hal tersebut hanya diketahui Allah sahaja.

Lim membidas kenyataan Khairy dengan menjelaskan bahawa beliau tidak membincangkan mengenai syurga neraka bahkan isu utama adalah mengenai hukuman yang sepatutnya dikenakan ke atas pembunuh kes berprofil tinggi, Altantuya Shariibu.

Pada masa yang sama, Dato' Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak-BN) menyindir ahli-ahli parlimen PAS yang berdiam diri apabila persoalan mengenai syurga neraka itu sedang hangat dibincangkan.

"Kenapa ustaz, ustazah daripada PAS diam? Jawablah mengenai isu ini," sindirnya.

Membidas serangan yang dibuat kedua-dua ahli parlimen BN tersebut, Lim menyatakan bahawa isu utama yang dibincang serta dibangkitkan beliau adalah mengenai pertikaian terhadap tindakan undang-undang yang dikenakan ke atas Raja Petra Kamarudin tanpa memfokuskan kepada persoalan syurga neraka.

"Saya menyebutkan mengenai kewajaran pembunuh Altantuya dihantar ke neraka atas kesalahan yang dilakukan bukannya mengenai menentukan hal syurga dan neraka.

"Kalau ini pun tidak boleh difahami, tidak gunalah graduate daripada Oxford University tetapi masih tidak boleh memahami isi kandungan perbincangan," tegasnya sambil disambut sokongan ahli-ahli parlimen Pakatan rakyat lain.

Pada masa yang sama, Lim turut menyentuh mengenai salah guna kuasa yang dilakukan oleh kerajaan BN seperti Peguam Negara, Polis untuk kepentingan mereka.

"Kita mengutuk dengan sekeras-kerasnya amalan tersebut yang sedikit sebanyak menjejaskan ketelusan dan keadilan kerajaan yang diberikan mandat oleh rakyat untuk membela nasib mereka dengan mengetepikan kepentingan pihak tertentu," tegasnya lagi.

Pada masa yang sama, ucapan beliau dimohon laluan oleh Dato' Bung Moktar Radin (Kinabatangan-BN) tetapi Lim tidak memberikannya.

"Kalau tidak beri laluan, saya keluar dewan sahajalah," ujarnya sambil tersenyum dan berlalu daripada dewan.

Menyambung ucapan perbahasan junjung kasih titah YDPA, Lim menegaskan sama ada kerajaan mahu membuat siasatan terbuka dengan menubuhkan suruhanjaya siasatan awam kes tersebut memandangkan ianya melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak.

Sementara itu, Tian Chua (Batu-KeADILan) pula meminta penjelasan mengenai pengaruh artikel yang dihasilkan Raja Petra sehingga ia dikatakan berupaya menghasut orang ramai sekaligus mengancam keselamatan dan ketenteraman negara.

"Bahkan terdapat ramai lagi penulis-penulis blog dan laman web yang membuat kenyataan dan artikel secara terbuka sebelum ini yang meminta supaya pemimpin nombor satu negara iaitu Perdana Menteri, meletakkan jawatan sebagai menyatakan tanggungjawab beliau yang mengakibatkan kekalahan BN pada pilihan raya umum lalu.

"Adakah orang nombor dua (Timbalan Perdana Menteri) lebih penting daripada orang nombor satu?" katanya.

Lim dalam kenyataan maklum balas beliau membangkitkan mengenai tindakan ke atas Raja Petra yang menyiarkan artikel tersebut yang dianggap memsabitkan dirinya sendiri ke dalam penyiasatan kes Altantuya selepas kandungan artikel tersebut yang dianggap mempersoalkan tindakan peguam negara membolehkannya dikenakan dakwaan di bawah Akta hasutan.

"Takkan kita tidak boleh menyiasat TPM sedangkan sesiapa sahaja yang didakwa perlu dibicarakan dan dibuktikan kesalahan mereka oleh mahkamah. Biarkan pihak mahkamah menjalankan tugas mereka," ujarnya lagi.

Manakala Azmin Ali (Gombak-KeADILan) pula menyokong kenyataan Lim sebelum ini yang menyatakan bahwa terdapat penyalahgunaan kuasa dan jentera kerajaan untuk kepentingan pihak tertentu apabila mantan TPM, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang masih belum dibuktikan bersalah telah dikasari dan diaibkan oleh pihak polis dengan menggunakan seluruh jentera kerajan.

"walaupun seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, tetapi hal ini berbeza dalam kes Dato' Seri Anwar Ibrahim," katanya.

http://www.harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment