20 May 2008

Tiada harta tiga generasi supaya Dr M keluar Umno

Pembangkang tidak pernah memberikan harta yang banyak hingga boleh hidup senang-lenang sehingga tiga generasi untuk memujuk Tun Dr Mahathir Mohamad keluar dari Umno, kata Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar.

"Apa yang berlaku itu bukan lagi sekadar tsunami politik tetapi taufan nargis sebenarnya sedang melanda negara ini," kata beliau ketika diminta mengulas tindakan Dr Mahathir keluar dari Umno.

Ketika menyatakan tindakannya keluar dari Umno, Dr Mahathir berkata, surat rasmi mengenai tindakan beliau keluar dari Umno akan dihantar kepada Setiausaha Agung parti itu secepat mungkin.

Katanya, beliau akan berada di luar Umno selagi Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memimpin parti itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan bertajuk `Kedudukan Orang Melayu Pasca Pilihan Raya Umum Ke-12' di Alor Star hari ini.

Beliau juga menolak tanggapan bahawa tindakannya itu mempunyai kaitan dengan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung klip video Datuk V. K. Lingam yang mencadangkan beliau bersama lima yang lain disiasat segera.

Sambil menyifatkan kes itu sebagai kes mahkamah, Dr Mahathir berkata beliau bersedia dipenjara jika didapati bersalah.

Mengulas lanjut perkembangan tersebut, Mahfuz melihat apa yang berlaku itu bukan sekadar krisis Umno sahaja tetapi krisis negara.

Abdullah bukan sekadar Presiden Umno tetapi Perdana Menteri negara ini, kata beliau.

Lagi berita...

No comments:

Post a Comment