KUALA LUMPUR 2 Mei – Seorang suspek yang dipercayai dalang kes seorang suami dibunuh dan isterinya cedera dalam kejadian berasingan kelmarin dan semalam, ditembak mati di sini awal pagi ini.
Enam lagi rakan suspek turut ditahan bagi membantu siasatan polis.
Pemegang status pemastautin tetap (PR), Sariningsi, 35, cedera ditembak dua kali di bahagian belakang badannya di Jalan Gombak Lama, pagi semalam manakala suaminya, Annuar pula mati ditembak di kepala dalam satu kejadian di Kuang, Rawang, Rabu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, susulan itu, polis melancarkan gerakan dan berjaya mengesan suspek, Muhibuddin Ismuhu, 40-an yang terlibat secara langsung dengan kes tersebut.
Menurutnya, suspek dikesan sedang minum di sebuah restoran sekitar pukul 3 pagi di ibu kota dan bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran pasukan polis.
``Ketika berlari 100 meter dari situ suspek melepaskan tembakan dan polis membalas balik yang mengenai suspek menyebabkannya mati di tempat kejadian, di belakang sebuah pasar raya di ibu kota.
``Hasil pemeriksaan, polis berjaya menjumpai dua pucuk pistol yang dipercayai digunakan dalam kes yang melibatkan suami isteri itu serta sepasang gari,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Khalid memberitahu, seorang anggota polis turut mengalami kecederaan di tangan dalam kejadian tersebut.
Beliau berkata, lokasi suspek dapat dikesan hasil tertangkapnya enam lagi rakannya berusia 40 hingga 50-an, kira-kira sejam sebelum dia ditembak mati.
Menurutnya, siasatan ke atas semua suspek yang ditahan juga merangkumi penglibatan mereka dalam kes-kes lain di negara ini.
Beliau tidak menolak kemungkinan motif kes suami isteri itu ada kaitan dengan dadah.
``Tapi, saya tidak boleh mengulas lanjut kerana siasatan mengenainya sedang dijalankan,'' jelasnya. - Utusan
No comments:
Post a Comment