28 May 2008

Samseng diguna belasah penduduk hingga parah

KAJANG: Beberapa orang awam serta petugas media cedera selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjata dalam satu kejadian di persimpangan Bandar Mahkota Cheras, dekat sini, malam tadi.

Difahamkan, kekecohan timbul apabila penduduk di kawasan itu berang berikutan tindakan sebuah syarikat konsesi lebuh raya menutup jalan yang didakwa menjadi laluan masuk ke kawasan perumahan mereka.

Perjuangan penduduk untuk terus menggunakan laluan itu berkecai apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, baru-baru ini, menolak permohonan injunksi dikemukakan penduduk bagi menghalang syarikat konsesi berkenaan membina penghadang itu.

Berikutan itu, malam tadi, ratusan penduduk berhimpun untuk merobohkan penghadang konkrit yang dibina syarikat terbabit sejak awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, penduduk yang berkumpul mula meluru ke kawasan pembinaan dan merobohkan penghadang berkenaan.


Perhimpunan yang pada awalnya kelihatan aman, bagaimanapun bertukar ganas apabila sekumpulan 15 hingga 20 lelaki secara tiba-tiba datang mengamuk dan memberi amaran kepada penduduk supaya beredar.

Kerana terlalu marah, kumpulan berkenaan yang bersenjatakan besi, kayu serta topi keledar terus menyerang dan membelasah beberapa penduduk secara bertubi-tubi.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut bertindak kejam tanpa menghiraukan golongan wanita dan kanak-kanak yang berada di lokasi kejadian.

Selain itu, beberapa kenderaan penduduk yang diletakkan di situ turut dirosakkan termasuk cermin kereta dipecahkan.

Mangsa, Lee Ah Seng, 48, berkata dia yang pada awalnya cuba menjadi orang tengah menyelesaikan pertelingkahan itu terkejut apabila beberapa lelaki bertindak memukul kepala dan tangannya menggunakan kayu.

Difahamkan, kejadian itu turut menyebabkan seorang penduduk cedera parah di kepala.

Penutupan jalan itu bermakna penduduk terpaksa menggunakan laluan lebih jauh untuk pulang ke kawasan perumahan selain terpaksa membayar tol.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, ketika dihubungi malam tadi berkata: “Saya dimaklumkan ada empat kereta peronda polis berhampiran lokasi kejadian dan saya sudah mengarahkan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Sakarudin Che Mood memberikan perhatian serius terutama mengenal pasti punca dan individu yang terbabit dalam insiden itu.”

www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment