Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, penghuni-penghuni rumah pangsa yang menukar meter air secara individu merupakan satu pelaburan yang sangat baik.
Oleh sebab itu katanya, mana-mana penghuni rumah yang mengguna meter air secara pukal melalui pemaju digalakkan menukarnya kepada meter individu dengan segera.
Menurutnya lagi cepat, penduduk menukarkan, lagi cepat mereka mendapat air percuma sebanyak 20 meter padu sebagaimana kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat menjanjikan dalam manifesto pilihanraya Barisan Alternatif Selangor baru-baru ini.
"Sekiranya mereka menukar kepada meter sendiri ia satu pelaburan kerana kita akan bagi air percuma sebanyak 20 meter padu dan ini pun insentif untuk Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) juga.
"Kalau tidak Syabas pun tak seronoklah, kita bagi air percuma," katanya dalam sidang akhbar selepas beliau menutup program Pembangunan Belia Negeri selangor di Kem Bina Semangat Yayasan Selangor, Ampang pecah, Kuala Kubu Bahru, Selangor, semalam.
Beliau berkata, sekarang baru penduduk rumah pangsa sedar bahawa harga air mereka lebih mahal berbanding rumah lain.
Bagaimanapun katanya, terpulang kepada penduduk sama ada mereka hendak menukar ataupun sebaliknya.
"Sebenarnya pada bulan Jun ini kita akan bagi air percuma sebanyak 20 meter padu tetapi kita tahu terdapat beberapa keadaan yang dihadapi penduduk," katanya.
Bahkan katanya, lebih kurang 400 ribu rumah pangsa yang tidak mempunyai meter sendiri.
Katanya, kerajaan negeri tidak akan menunggu semua orang ada meter baru hendak bagi air percuma.
"Kita tidak boleh tunggu, nanti orang lain marah pula," katanya.
Beliau berkata, tindakan kerajaan Selangor memberi air percuma membuka mata rakyat bahawa banyak kebaikan yang mereka dapat walaupun pada mulanya ada yang mempersoalkan.
Dalam pada itu, menjawab satu soalan, beliau berkata kelebihan tersebut tidak mustahil akan dinikmati oleh penduduk Wilayah Persekutuan juga.
Katanya, walaupun setakat ini kerajaan Selangor hanya memutuskan kepada penduduk Selangor, ia boleh difikirkan apabila disusun semula industri air di Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Ini katanya, industri air di Selangor termasuk sama dengan Wilayah Persekutuan.
"Kita akan fikirkan bagaimana masyarakat Wilayah dan Selangor dapat kebaikan daripada ini. Sekarang ini hanya untuk Selangor," katanya.
www.harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment