17 May 2008

Rakyat ada media baru iaitu internet

Malaysia sedang menghadapi era ledakan maklumat yang bebas melalui internet, blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan tiada sesiapa yang boleh menghalang ia terus berkembang dari semasa ke semasa, kata menteri penerangan.

"Media tidak lagi bergantung kepada televisyen, radio dan bahan bercetak semata-mata. Kita mesti bersedia menghadapi media baru ini," kata Datuk Ahmad Shabery Cheek hari ini.

"Ledakan media baru ini telah dianggap sebagai salah satu sebab kurangnya sokongan pengundi kepada Barisan Nasional dalam pilihanraya umum lalu," tambahnya, ketika menyampaikan syarahan umum 'Cabaran Baru Mengenai Media dan Maklumat' anjuran Persatuan Sains Sosial Malaysia di kementeriannya pagi ini.

Ahmad Shabery berkata rakyat Malaysia tidak tahu apa yang akan berlaku dalam pilihanraya umum akan datang dengan penggunaan media baru ini yang lebih meluas.

Katanya, era kerajaan mengawal media semakin lama semakin berakhir kerana rakyat kini boleh memilih maklumat daripada media yang baru.

Bagaimanapun, katanya lagi, media yang bebas tidak semestinya memberi kesan yang buruk kepada kerajaan tetapi pemimpin kerajaan perlu kuat untuk berdepan dengan kritikan-kritikan daripada penulis dan rakyat sendiri.
www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment