26 May 2008

Politik mufti Perlis

Mufti Perlis cubit PAS cubit Umno, tetapi tercubitkah?

Ramai yang mengatakan PRU ke 12 merupakan suatu "Tsunami Politik", Presiden PAS TG Hj Abd Hadi mengatakan ia bagaikan "gunung berapi politik" suatu pengajaran dan iktibar buat Umno dan BN, apa pun rupanya bukan hanya orang politik dan orang awam sahaja terkena arus tsunami atau ledakkan lahar gunung berapi itu, rupa-rupanya Tok Mufti pun tak terkecuali.
Kerana itu saya lebih bersetuju dengan TG kerana kalau ia tsunami semuanya musnah dan mati belaka, tetapi jika ia gunung berapi, ia memuntahkan lahar yang boleh menyuburkan kembali bumi, memberi kesedaran dan nafas baru kepada ramai termasuklah barangkali tok-tok Mufti.

Hari ini Mufti Perlis memuatkan teguran, kritkkan yang penuh sinis dan kadangkala bagaikan senafas macam orang politik dalam ruangan mingguannya di Mingguan Malaysia. Saya agak beliau memang sesuai jika mahu terjun ke gelanggang politik, pilihlah antara banyak bahtera yang tersadai atau meluncur dipersada politik negara hari ini.

Saya tertarik apabila beliau menghurai dan membicarakan bahawa Islam itu adalah matlamat dan bukannya alat. Apa yang saya boleh faham berdasarkan penanya itu, jika kita berjuang untuk memartabatkan Islam maka jangan sekali-kali Islam itu diperalatkan. Jika begitu nanti agama hanya kelihatan sebagai bahan main-mainan untuk mendapatkan untung dan tenpat.

Bermaksud jangan matlamat menghalalkan cara. jangan berpilih-pilih membawa Islam versi satu kepada penonton satu dan versi dua kepada penonton dua. Lalu apabila takut penonton dua meninggalkan kita, maka kita masukkan pula versi tiga, kerana yang penting kuasa terus kekal ditangan kita. Itu anologi saya terhadap artikel beliau yang panjang lebar itu, memang tajam dan kekadang sinis tetapi jika ada asas kebenarannya maka perlu ditelan walaupun pahit.

Saya yakin beliau turut mencubit Umno apabila beliau menyebut kadangkala agama diguna sekadar untuk penghias majlis, bukannya memegang prinsipnya. Majlis rasmi dimulakan dengan doa tetapi perjalanan majlisnya tidak berteraskan prinsip Islam, dalam erti kata lain menjadi majlis maksiat.

Beliau juga menyebut ada pemimpin negara bagaikan "sumpah-sumpah" yang berubah warna mengikut majlis. Kata beliau ada yang mengajak rakyat jangan membazir tapi dalam majlis yang lain pemimpin tadi mengepalai pembaziran. Ada yang bercakap tentang rasuah dan amanah tetapi dalam majlis lain merekalah yang menganugerahkan projek-projek kepada "anak pinak" dan "rakan taulan" dengan cara yang dipertikaikan.

Bagus, dalam dan bermakna sekali teguran-teguran beliau termasuklah berkenaan Hang Berani yang katanya sekadar berani menghunuskan keris tetapi kemudiannya menjadi Hang Takut.

Tetapi dalam waktu yang sama semua mufti-mufti juga diharapkan jangan pula diperalatkan oleh jawatan mereka. Mufti-mufti mesti "above politics" jangan terlibat sekali-kali dalam politik, apalagi berkempen untuk parti itu dan ini atau calon itu dan ini atau melobi. Kalau berjaya begitu barulah mufti-mufti dapat membuktikan kepada semua bahawa Islam itu matlamat mereka dan bukannya alat. Barulah yang menegur tidak melakukan kesalahan yang sama yang dilakukan oleh puak yang ditegur.

Berlapang dadalah semua untuk menerima yang baik dan membuang yang keruh.

www.n32.blogspot.com

No comments:

Post a Comment