25 May 2008

Peguam Negara tidak layak adili siasatan laporan Suruhanjaya Lingam, dakwa Gwo Burne

Laporan yang dikeluarkan oleh Suruhajaya Siasatan Diraja berhubung klip video V K Lingam membuktikan kebenaran mengenai perlantikan hakim-hakim di negara ini berdasarkan percaturan beberapa pihak yang berkepentingan, kata Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh.

"Saya menyambut baik laporan yang dikeluarkan oleh pesuruhjaya-pesuruhjaya yang diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor.

"Justeru, saya mendesak supaya pihak suruhanjaya menilai semula semua kes yang dihakimi oleh Hakim Tun Eusoff Chin dan kes-kes yang dibawa oleh Dato' VK Lingam kerana jelas melalui Suruhanjaya ini, melalui laporan-laporan media, kedua-dua mereka ini terlibat di dalam percaturan hakim-hakim dan kredibiliti mereka di dalam kehakiman kini dipertikaikan sehingga dicadangkan oleh Suruhanjaya agar kedua-dua mereka bersama tiga yang lain disiasat," kata Gwo Burne.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang disampaikan melalui pembantunya, Faisal Mustaffa hari ini.

Gwo Burne yang juga terbabit dalam pendedahan klip video tersebut berpendapat siasatan terhadap kesemua individu tersebut tidak sepatutnya diserahkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Gwo Burne mendakwa, melalui beberapa kes yang berlaku, Abdul Gani jelas menunjukkan sikap yang tidak bebas dan berat sebelah.

Oleh yang demikian, siasatan terhadap mereka yang terlibat di dalam kes VK Lingam perlu dijalankan oleh hakim yang lebih bebas dan kredibiliti, katanya.

Kes ini jelas menunjukkan bahawa sistem kehakiman di negara ini dicemari oleh beberapa individu yang berkepentingan tertentu dan korup, ujarnya.

Suruhanjaya Diraja perlu dikekalkan dalam meneliti perlantikan hakim-hakim lain termasuk peguam-peguam yang mengendali kes-kes yang berkepentingan awam, tegasnya.

Gwo Burne adalah individu yang dikatakan bertanggungjawab merakam perbualan antara seorang hakim kanan dengan peguam terkemuka, VK Lingam mengenai percaturan hakim pada tahun 2002.

Klip video itu didedah mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato'Seri Anwar Ibrahim bagi membolehkan satu siasatan dilakukan ke atas intipati perbualan yang dicurigai mempunyai kepentingan yang akan membelakangi kepentingan rakyat.

www.harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment