12 May 2008

Pak Lah melihat krisis harga barang sebagai ancaman kepada kerajaan

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi amaran bahawa mana-mana kerajaan di dunia boleh tumbang jika krisis berkaitan makanan dan inflasi sekarang gagal diatasi.

Perdana Menteri berkata, krisis bekalan makanan sangat sensitif bagi rakyat ketika ini yang sedang berhadapan dengan masalah peningkatan kos sara hidup yang tinggi.

Beliau berkata, kerajaan benar-benar berusaha menangani krisis tersebut dengan menubuhkan Jawatankuasa Menangani Inflasi, menyediakan peruntukan makanan sebanyak RM4 bilion serta mengadakan stok penimbal.

"Kita bertanggungjawab menangani masalah ini, kita mengambil tindakan supaya kita tidak tersungkur dengan kenaikan harga minyak dan kenaikan kos yang lain-lain termasuk perkhidmatan dan pengangkutan.

"Percayalah bahawa kerajaan sentiasa mahu memastikan rakyat cukup makanan, kita perlu ambil tindakan yang cepat dalam menangani masalah ini.

"Tuan-tuan mungkin tak nak dengar tetapi saya kena cerita juga kerana ia menjadi tanggungjawab kerajaan," katanya.

Lagi berita...

No comments:

Post a Comment