29 May 2008

Mukhriz rayu Najib pujuk Pak Lah, tidak rela Presiden Umno diaibkan

Datuk Mukhriz Mahathir, yang lantang mengkritik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak pilihan raya umum ke-12, menemui Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dua minggu lalu untuk merayu agar beliau "melakukan sesuatu bagi mempercepatkan peralihan tampuk kepimpinan dengan segera."

Mukhriz mengakui telah menemui Najib untuk menyampaikan pendiriannya itu pada 15 Mei lalu, empat hari sebelum ayahnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan keluar Umno di Alor Star.

"Ada perjumpaan dengan beliau (Najib). Itulah, saya terangkan pendirian saya. Beliau kata beliau faham, saya pun merayu kepada beliau melakukan sesuatu.

"Tetapi nampaknya setakat itu sahaja. Masih belum nampak apa-apa lagi," kata beliau yang juga Exco Pemuda Umno ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Mukhriz, Ahli Parlimen Jerlun menjelaskan, beliau telah merayu kepada Najib agar berbincang dengan Abdullah untuk membincangkan peralihan kuasa dengan segera - sebelum mesyuarat cawangan dan bahagian.

Pada pertengahan bulan lalu, Abdullah yang memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno sejak 2003 berkata, beliau akan tetap mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Disember ini.

Perdana Menteri turut menjelaskan, hanya selepas pemilihan itu, beliau akan berbincang dengan Najib berkaitan hal-hal peralihan kuasa.

"Mungkin beliau rasa satu tahun, dua tahun boleh lagi. Bagi saya, satu, dua tahun bermakna kita cuma ada dua atau tiga tahun untuk membuat kerja-kerja menawan balik negeri-negeri yang tewas," kata Mukhriz yang memutuskan untuk kekal dalam Umno walaupun Dr. Mahathir memutuskan untuk keluar Umno kerana kecewa dengan senario politik dalam parti.

Mukhriz juga telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno.

Dalam pertemuan itu, beliau yang turut ditanya mengenai tindakannya terus mendesak Abdullah melepaskan jawatan parti dan kerajaan dengan segera, Mukhriz menjelaskan, beliau tidak mahu Abdullah diaibkan dengan kemungkinan kekalahan dalam pemilihan Umno Disember ini.

"Tidak pernah berlaku dalam parti, dalam sejarah Umno ini, presiden yang menyandang jawatan itu kalah dalam pemilihan.

"Jadi, saya khuatir itu akan berlaku sekiranya Abdullah cuba untuk mempertahankan jawatannya sebagai presiden. Misalnya Tengku Razaleigh Hamzah (Ketua Umno Bahagian Gua Musang) mahupun sesiapa melawan beliau untuk jawatan presiden.

"Jika presiden yang menyandang kalah dalam pemilihan, ia merupakan keputusan yang mengaibkan," kata beliau yang seolah-olah memberikan alternatif kepada Abdullah agar mengelak daripada 'kekecewaan' seterusnya.

Sama ada beliau ingin menyelamatkan Abdullah daripada kemungkinan tersebut dengan memberi alternatif, Mukhriz menjelaskan:

"Cuba kita bayangkan, keyakinan orang terhadap Umno, sokongan terhadap Umno sekarang. Sudah kalah lima negeri dalam pilihan raya, majoriti Abdullah sendiri pun menurun.

"Jika dalam pemilihan Umno kalah lagi, sudah tentu mengaibkan individu tersebut dan ada kesannya kepada parti.

"Jadi, saya rasa kalau boleh jawatan presiden parti itu, ada peralihan kuasa sebelum kita mulakan mesyuarat cawangan (Julai ini)."

www.mstar.com.my

No comments:

Post a Comment