Ahli korporat, Datuk Mokhzani Mahathir (gambar) hari ini mengumumkan keluar daripada UMNO, sebagai mengikut jejak bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Bekas Penolong Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO itu berkata, beliau telah menghantar surat mengenai perkara tersebut ke pejabat UMNO Bahagian Merbok menerusi faks, semalam.
''Surat itu bagi membatalkan keahlian saya dalam UMNO dan keputusan itu dibuat kerana bersetuju dengan pendapat ayah saya bahawa UMNO sekarang bukan lagi UMNO yang sebenar,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tindakan itu juga, kata beliau, bagi menyedarkan orang ramai tentang perlunya perubahan drastik dilakukan dalam UMNO bagi memastikan masa hadapan yang cerah.
''Orang ramai mungkin tidak menyedari kepimpinan negara pada masa ini tidak mempunyai jawapan kepada masalah yang melanda negara kini,'' katanya.
Mokhzani, menjadi ahli UMNO selama 22 tahun sejak tahun 1986 dan meletakkan jawatan sebagai Penolong Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO pada 2001 kerana faktor had usia.
Bekas Ketua Pemuda UMNO Merbok itu yang lebih aktif dalam sektor korporat juga pernah menyandang jawatan Bendahari UMNO Kedah.
Mengulas lanjut, Mokhzani berkata, dengan keputusannya itu tidak bermakna beliau tidak lagi dapat berkhidmat kepada negara dan yakin dapat meneruskannya melalui cara lain.
''Saya sudah biasa dengan penduduk di Merbok, kalau adalah masalah mereka datang jumpa, saya akan tolong setakat yang mampu,'' jelas beliau.
Ditanya tentang keputusan adiknya, Mukhriz untuk terus bersama UMNO, Mokhzani berkata, walaupun ia bertentangan dengan keputusan bapa mereka, tetapi ia adalah tindakan yang betul.
''Mukhriz rasa dia boleh memainkan peranan yang besar dalam UMNO dan dia perlu lakukan sesuatu dari dalam parti.
''Dia (Mukhriz) mewakili golongan muda yang boleh bawa perubahan drastik dalam UMNO,'' katanya.
Selain itu, kata Mokhzani, adiknya yang juga Ahli Parlimen Jerlun tidak boleh mengetepikan kepentingan pengundinya dengan keluar daripada parti.
www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment