Seorang pemandu teksi maut setelah dipukul dan disamun oleh dua lelaki yang berpura-pura menjadi penumpang dalam kejadian berhampiran sebuah sekolah Tamil di Batu Caves, malam kelmarin.
Mangsa, Liew Fauy Koong, 56, dipercayai mengambil kedua-dua `penumpang’ itu di sebuah tempat sebelum memberhentikan teksinya di kawasan tersebut kira-kira pukul 10.30 malam.
Seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas di sekolah berkenaan melihat mangsa dipukul dengan sebatang kayu sebelum rebah di tepi teksinya.
Pengawal keselamatan itu kemudian menjerit meminta pertolongan tetapi kedua-dua suspek melarikan diri dengan teksi berkenaan.
Mangsa dihantar ke Hospital Selayang oleh orang awam pada pukul 12 tengah malam untuk rawatan tetapi disahkan telah meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, polis percaya mangsa disamun oleh kedua-dua suspek tersebut.
Katanya, polis yang menjejaki teksi itu kemudian menemuinya di Flat Sri Murni, Jinjang pada pukul 2 pagi.
“Siasatan mendapati radio di teksi itu dan telefon bimbit milik mangsa telah hilang,” katanya.
Polis bagaimanapun belum membuat sebarang tangkapan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.- Utusan.
No comments:
Post a Comment