30 May 2008

Lama tak dengar khabar Shahidan

Shahidan enggan, biar Idris undur

Walaupun nasib mereka hampir serupa, Datuk Seri Shahidan Kassim enggan melepaskan jawatan pengerusi badan perhubungan Umno Perlis biarpun rakan sejawatannya di Terengganu berbuat demikian semalam.

Datuk Seri Idris Jusoh, yang hilang jawatan menteri besar seperti Shahidan, memaklumkan hasratnya itu kepada presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mengulas keputusan Idris, Shahidan dilaporkan berkata "tiada sebab" untuk beliau meletakkan jawatan tersebut.

"Mengapa nak letak jawatan. Saya juga ketua (Umno) bahagian," katanya, lapor Bernama.

Shahidan menegaskan, beliau masih pengerusi perhubungan dan tidak menghadapi masalah dengan jawatan itu.

Idris - yang membuat kenyataan ingin mempertahankan kedudukannya sebagai pengerusi perhubungan hujung minggu lalu, senada dengan Shahidan - akhirnya dilaporkan menyerahkan surat meletakkan jawatan hari ini.

Di Perak lima hari lalu, Idris berkata beliau tidak akan meletakkan jawatan walaupun tindakan itu boleh menimbulkan kebuntuan politik di Terengganu.

Selepas mengalami krisis perebutan jawatan menteri besar Mac lalu, Idris dan Shahidan masing-masing digantikan dengan Datuk Ahmad Said dan Datuk Dr Md Isa Sabu.

Bagaimanapun, Ahmad hari ini dilaporkan tidak dimaklumkan secara rasmi pengganti Idris.

Dalam tradisi Umno dan BN, menteri besar akan memegang jawatan pengerusi perhubungan parti dan pengerusi BN negeri.

Ahmad berkata pelantikan jawatan yang sedang kosong itu hak Abdullah, lapor laman web The Star.

Wakil rakyat Kijal berharap peralihan kepemimpinan Umno Terengganu akan berjalan lancar selepas Idris meninggalkan jawatannya itu.

Mengulas peletakan jawatan setiausaha perhubungan Datuk Rosol Wahid sebagai susulan keputusan Idris, Ahmad berkata perkara itu biasa kerana wakil rakyat Ajil itu dilantik oleh Idris.

www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment