Perkhidmatan Datuk Rafiah Salim sebagai naib canselor Universiti Malaya (UM) disambung enam bulan lagi, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Pada masa yang sama, katanya, jawatankuasa pilihan akan meneliti calon yang layak memegang jawatan itu apabila kontrak Rafiah tamat pada 7 November nanti.
"Jawatankuasa pilihan akan menilai sama ada (kontrak) naib canselor sekarang perlu diperbaharui atau mungkin memilih calon lain untuk jawatan berkenaan," katanya kepada pemberita di Putraya hari ini.
Menurut laporan Bernama, sebelum itu Khaled menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang kepada 113 kakitangan Kementerian Pengajian Tinggi.
Rafiah, merupakan naib canselor wanita pertama UM dan memegang jawatan itu sejak 1 Mei 2006 untuk tempoh dua tahun.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata kementerian itu akan melancarkan satu lagi bab dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) iaitu mentransformasi dan mengukuhkan sistem penyampaian kementerian itu pada 13 Jun nanti.
"Usaha-usaha untuk mentransformasi kementerian termasuklah soal menentukan budaya kerja serta menjamin perkhidmatan yang cemerlang di kalangan pegawai dan kakitangan kementerian ini," katanya. www.malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment