26 May 2008

Hantar tentera laut Malaysia ke Terumbu Karang Tengah

Jauhi Terumbu Karang Tengah Buat Sementara, Kata Najib

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan rakyat Malaysia supaya menjauhi Terumbu Karang Tengah buat sementara sehingga kerajaan mengeluarkan kenyataan lanjut mengenainya.

Beliau berkata jawatankuasa teknikal negara masih sedang menyediakan cadangan-cadangan yang dijangka siap dalam tempoh dua minggu, ekoran keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Jumaat lepas bahawa Malaysia memiliki kedaulatan Terumbu Karang Tengah.

"Perkara terbaik yang perlu dilakukan kini ialah menunggu dahulu sehingga jawatankuasa teknikal dapat menampilkan cadangan-cadangannya, kemudian kita akan keluarkan nasihat-nasihat tertentu kepada orang ramai.

"Jika tidak, akan timbul kekeliruan bagi orang ramai yang terbabit dengan kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sambutan Bulan Perpaduan peringkat nasional di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari Ahad.

Najib berkata demikian sebagai mengulas beberapa laporan berita yang bercanggah, di mana ada laporan yang mengatakan bahawa nelayan tempatan kini boleh bebas menangkap ikan di kawasan perairan Terumbu Karang Tengah, manakala ada satu lagi laporan menasihatkan mereka menjauhi kawasan itu buat sementara waktu.

Laporan berita pertama memetik seorang pensyarah kanan Institut Dunia dan Ketamadunan Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Nik Anuar Nik Mahmud, manakala laporan kedua memetik kata-kata Komander Polis Marin SAC II Isa Munir.

Kedua-dua mereka membuat ulasan itu ekoran penghakiman ICJ yang menyaksikan 15 hakim berpihak kepada Malaysia manakala seorang kepada Singapura dalam tuntutan terhadap kedaulatan kawasan terumbu itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment