KUALA LUMPUR 21 Mei - Google Inc. (Google), syarikat enjin carian Internet terbesar di dunia menyifatkan pasaran Malaysia semakin penting kerana negara ini merupakan pengguna kemudahannya yang terbesar di rantau Asia Tenggara.
Sehubungan itu, Naib Presiden dan Ketua Pegawai Internet Google, Vinton G.Cerf berkata, pihaknya masih mencari peluang dan masa terbaik untuk meluaskan penguasaan pasaran berkenaan.
Katanya, bagi merealisasikan cadangan berkenaan, Google sedang membuat kajian tentang pasaran negara ini termasuk faktor bahasa, budaya dan gaya hidup serta tabiat pengguna tempatan melayari Internet tempatan.
''Kami telahpun memiliki operasi di negara-negara lain di Asia seperti di China dan India dan kami memang mencari peluang baru untuk meluaskan aktiviti perniagaan kami khasnya di rantau ini," katanya pada sidang akhbar sempena Kongres Teknologi Maklumat Sedunia (WCIT 2008) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Menurut Ceft, kajian terperinci perlu kerana ia akan menjadi pemangkin kepada kejayaan syarikat untuk menguasai sesebuah negara berdasarkan kefahaman syarikat terhadap keperluan dan kemahuan pengguna Internet dan tabiat pelayaran mereka.
Katanya, tabiat pengguna melayari Internet amat berbeza daripada satu negara dengan negara lain kerana ia adalah berkaitan dengan budaya, bahasa dan kepercayaan masing-masing.
''Kadar penembusan kami di sebahagian pasaran dunia ini bergantung kepada sejauh mana kami memahami bahasa dan tabiat pengguna melayari Internet untuk memperoleh maklumat," ujarnya.
www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment