07 May 2008

Dua disyaki mencuri besi, ditahan di Kem Tahanan Simpang Renggam

Kejatuhah Bursa M'sia, mesej pada PM

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) memandang serius kejatuhan saham di Bursa Malaysia semenjak awal tahun ini sehingga mencecah kemerosotan melebihi 200 mata.

Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata, pada Januari 2008, Bursa Malaysia mencatat 1,445 mata, tetapi telah merosot kepada 1,227 mata pada April 2008.

"Para penganalisis saham mengatakan nilai bagi satu mata di BSKL mewakili kira-kira RM770 juta. Ini bermakna, dalam tempoh dua bulan, negara telah kerugian besar sekitar RM140 bilion," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DPP Pusat, tegasnya, melihat faktor utama kejatuhan saham di BSKL ini adalah berpunca daripada ketidakyakinan para pelabur ekoran kedudukan kerajaan yang tidak stabil selepas pilihanraya umum ke-12.

"Faktor kegagalan BN mempertahankan majoriti dua pertiga adalah satu isu, tetapi isu yang lebih besar ialah ketidakyakinan ahli Umno terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Semenjak 9 Mac 2008, ahli Umno di pelbagai peringkat, mengkritik secara terbuka kepemimpinan beliau, dan sebahagian besar daripadanya mendesak supaya presiden Umno berundur daripada jawatan Perdana Menteri," tegas Salahuddin.

Pergolakan ini, kata beliau, kemudiannya memberi kesan yang lebih teruk kepada keyakinan pelabur apabila dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak demokratik dikenakan ke atas negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat. D

"Dalam masa yang sama rakyat dan pelabur sudah berasa jelek dengan kegagalan kerajaan BN mewujudkan integriti dan kebebasan di kalangan rakyat.

"Peningkatan indeks rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan sudah menyamai peningkatan inflasi yang sedang melanda hari ini.

"Bertolak dari beberapa faktor ini, indeks Bursa Malaysia telah menerima kesan yang parah dan mulai mengalami kejatuhan yang besar dalam tempoh yang singkat," tambahnya.

Beliau menyuarakan kebimbangan DPP sekiranya kerajaan BN cuba menutup kejatuhan saham itu dengan menggunakan dana-dana awam yang dipaksa untuk menyuntik semula dana bagi memulihkan Bursa Malaysia.

Salahuddin mendakwa, ketika kegawatan ekonomi pada 1998 dahulu, berbilion wang rakyat disalahgunakan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kroni bagi mengelakkan mereka muflis.

Oleh itu, katanya, tidak mustahil pada hari ini, jika dana-dana awam seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Guru (KWSG), Perbadanan Nasional Berhad (PNB) dan sebagainya akan dipaksa untuk ‘menjaga imej’ BN dengan menyuntik berbilion wang ke Bursa Malaysia.

Ordinan Darurat

Dalam satu lagi kenyataan, Salahuddin berkata DPP membantah tindakan kerajaan menahan pencuri kabel dan menara besi penghantaran grid elektrik di bawah Ordinan Darurat.

"DPP berpandangan bahawa penahan tanpa bicara ini adalah satu pencabulan ke atas hak asasi manusia, dan mendesak kerajaan supaya mendakwa semua pencuri besi di mahkamah sebagai langkah membendung kegiatan mereka.

"Tidak ada makna bagi rakyat jika usaha membendung kejahatan penjenayah dengan satu kejahatan yang lain iaitu penahanan tanpa bicara," katanya.

Sejak kes kecurian besi di Sabah, dua orang yang disyaki penjenayah telah ditahan di bawah Ordinan Darurat di Kem Tahanan Simpang Renggam.

"Tindakan ini adalah amat tidak wajar kerana pihak polis sepatutnya membuat penyiasatan dan membawa terduduh untuk didakwa di mahkamah.

"Langkah menahan orang yang disyaki tanpa membuktikan kesalahan mereka telah mengulangi kezaliman ISA. Ia tidak wajar lagi dilaksana di negara ini kerana kita telah memiliki pasukan polis yang cekap dan boleh menyiasat kes seperti ini," katanya.

Menurutnya, jika kerajaan mahu mencegah kegiatan jenayah mencuri besi ini, sepatutnya dipertingkatkan kawalan keselamatan, pendidikan kesedaran atau menggubal undang-undang yang lebih keras.

"Tindakan menahan tanpa bicara tidak menyelesaikan masalah kerana terdapat beratus-ratus kes serupa di seluruh negara. Berupayakan kem tahanan menampung mereka?

"Dan lebih parah lagi, sanggupkah kita melihat orang yang disyaki ditahan bertahun-tahun tanpa dibuktikan mereka bersalah.

"DPP Pusat mendesak supaya mereka yang ditahan di Simpang Renggam di bawah Ordinan Darurat dibebaskan dengan segera atau didakwa di mahkamah," tambahnya.

http://www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment