23 May 2008

Dr M: Musa 'duri dalam daging' Umno

Tun Dr Mahathir Mohamad memulangkan paku buah keras terhadap Tun Musa Hitam dengan mendakwa bekas timbalannya itulah ‘duri dalam daging’ Umno.

“Tun, apakah Tun lupa Tun jadi duri dalam daging Umno tahun 1986 hingga 1987 dahulu?” kata mantan perdana menteri itu dalam blognya.

“Semasa Tun jadi timbalan perdana menteri [dilantik oleh saya], Tun telah letak jawatan … kerana hendak saya berhenti daripada jadi perdana menteri dan diganti oleh Tun.”

Dr Mahathir mengulas kenyataan Musa yang menyifatkan “duri dalam daging (Umno) sudahpun terkeluar” apabila bekas presiden Umno itu mengambil keputusan keluar parti serta-merta Isnin lalu.

"Duri dalam daging sudah pun terkeluar dan dari sekarang pucuk pimpinan harus menumpukan usaha mereka kepada: Pertamanya, menerima realiti bahawa Umno sekarang bukan lagi sekuat atau diterima sepenuhnya oleh rakyat, terutamanya Melayu.

"Dan kedua, menerima realiti bahawa konsep ‘Mahathirisme’ sudah berlalu dan Umno harus balik kepada konsep Bersih, Cekap dan Amanah yang pada awal tahun 1980-an telah diterima dengan begitu positif oleh rakyat jelata tetapi dalam jangka masa begitu pendek kita semua dalam Umno telah kesesatan jalan," kata Musa.

Dr Mahathir menyatakan, Musa rela bekerjasama dengan bekas naib presiden Tengku Razaleigh Hamzah demi menjatuhkan beliau sebagai presiden Umno dan perdana menteri waktu itu.

"Demikianlah bencinya Tun kepada saya sehingga sanggup terima musuh ketat Tun bertanding presiden, dan Tun menjadi (calon) timbalannya. Tun sebelum itu merayu supaya saya sokong Tun untuk merebut jawatan timbalan presiden dalam pertandingan lawan Tengku Razaleigh,” katanya.

Musa dan Tengku Razaleigh bersaing merebut jawatan itu pada 1981 dan 1984.

Dr Mahathir juga mendakwa Musa memperalatkan Tengku Razaleigh sehingga terpaksa keluar daripada Umno, selepas ditubuhkan semula akibat pengharaman pada 1988, sedangkan bekas timbalannya itu "selamat" apabila dilantik ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

"Tengku Razaleigh terkeluar daripada Umno (Baru) dan menjadi mangsa perancangan Tun. Syabas Tun. Saya tak tahu sekarang (sama ada) Tun ahli Umno atau tidak," katanya lagi.

Beliau juga memperkecil-kecilkan ahli Majlis Tertinggi (MT) Datuk Shahrir Samad dan mengungkit-ungkitkan usahanya membawa masuk kembali ahli parlimen Johor Bahru itu.

"Siapakah kamu yang nak kritik tindakan saya?" kata Dr Mahathir.

"Jika tidak kerana kakak Tun Musa sebagai ketua Wanita Johor Bahru datang pagi-pagi ke rumah saya untuk merayu supaya Datuk dibenar kembali ke pangkuan Umno, Datuk akan jadi duri dalam daging Umno lebih lama."

Dr Mahathir, yang menghadiri satu persidangan ekonomi di Tokyo, terus menyindir menteri perdagangan dalam negeri dan hal-ehwal pengguna itu dengan menyatakan "saya ucap tahniah kerana Datuk dapat sekali lagi jadi menteri.

"Jagalah harga barang baik-baik. Tak usahlah komen tentang diri saya."

Dr Mahathir melengkapkan coretannya dengan peribahasa "tepuk (sic) dulang paku serpih, katakan orang awak yang lebih".

www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment