29 May 2008

Berakhirnya monarki Nepal 239 tahun

KATHMANDU 29 Mei – Bendera diraja diturunkan dari istana raja Nepal hari ini apabila negara Himalaya ini menyambut hari pertamanya sebagai sebuah republik berikutan pemansuhan monarki Hindu berusia 239 tahun.

Institusi raja yang dahulunya disanjung kini tinggal dalam lembaran sejarah selepas Dewan Perlembagaan dengan hampir sebulat suara menyokong usul untuk menghapuskan pemerintahan beraja pada pengundian malam tadi.

Pihak berkuasa berkata, bendera kebangsaan akan di naikkan sebagai pengganti bendera diraja itu.

Rakyat Nepal mengibarkan bendera parti, menari dan bernyanyi untuk meraikan kelahiran republik baru itu malam tadi.

Parti politik dan puak Mao berkata,lebih banyak sambutan dirancang hari ini. Namun cabaran besar masih menanti.

Puak Mao yang memenangi 220 daripada 601 kerusi di Dewan Perlembagaan berikutan pilihan raya bulan lepas dijangka mengetuai kerajaan baru.

Mereka bagaimanapun perlu memenuhi harapan menggunung rakyat di negara ini, antara negara paling miskin di dunia.

Beribu-ribu bekas gerila Mao masih terkurung di kem-kem mereka.

Puak Mao mahu mereka digabungkan ke dalam angkatan bersenjata negara, tetapi tentera, yang dilihat bersimpati dengan raja setakat ini, enggan menerima kemasukan gerila itu.

Semasa kempen pilihan raya, puak Mao menjanjikan tanah kepada petani miskin dan pekerjaan untuk belia menganggur.

“Puak Mao kini menghadapi cabaran besar untuk membuktikan kemampuan mereka melaksanakan demokrasi dan memenuhi mandat perubahan,” kata ketua Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) bagi Nepal, Rhoderick Chalmers. – Reuters

No comments:

Post a Comment