29 May 2008

Bekas - bekas ahli keadilan mula menyertai Umno

Lagi bekas SU Anwar sertai Umno

Dua lagi bekas pemimpin PKR memohon menyertai Umno, mengikut jejak bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Mohamad Ezam Mohd Nor semalam.

Bekas ketua bahagian Permatang Pauh, Anuar Shaari dan bekas ketua AMK Kedah, Khairul Anuar Ramli menyerahkan borang keahlian kepada timbalan presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak di bangunan parlimen petang tadi.

Anuar bertugas sebagai setiausaha sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu beliau menteri kewangan.

Khairul Anuar pula calon bebas kerusi dewan undangan negeri Kulim, Kedah dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Bercakap di sidang media, Najib berkata permohonan Anuar akan diserahkan kepada majlis tertinggi (MT) Umno kerana beliau pernah menjadi ahli parti.

Bagaimanapun permohonan Khairul Anuar tidak perlu kerana pemimpin pemuda tidak pernah menganggotai Umno.

"Kedua-dua mereka memohon menjadi ahli Umno seumur hidup," katanya.

Najib berkata, Anuar telah menemuinya untuk menyatakan kesediaan beliau menyertai semula Umno.

Semalam, Mohamad Ezam yang juga bekas setiausaha politik Anwar menyerahkan borang menyertai kembali Umno kepada perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sementara itu, Anuar berkata, beliau kembali semula ke pangkuan Umno kerana percaya kepada kepimpinan BN menerajui negara dan parti.

Katanya, beliau meninggalkan PKR tahun lalu kerana hilang kepercayaan kepada kepemimpinan Anwar.

"Ramai lagi ahli dan bekas ahli PKR yang akan meninggalkan parti itu atas alasan yang sama.

"Ia bermula dengan jumlah yang kecil dan akhirnya menjadi gelombang yang besar," tambahnya lagi.

Sementara itu, Khairul Anuar pula berkata, beliau memohon menganggotai Umno kerana hilang keyakinan kepada PKR berdasarkan pengalamannya dalam parti itu sejak penubuhannya pada 1999.

Dalam AMK, Khairul Anuar pernah memegang jawatan ketua AMK Kedah antara 2003 hingga tahun lepas dan exco pusat AMK selama dua tahun hingga 2007.

www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment