28 May 2008

Album pertama Mufti Perlis bakal muncul!

INDUSTRI hiburan akan diwarnai dengan sebuah album unik yang akan berada di pasaran tidak lama lagi hasil nukilan pena dan lirik-lirik puitis Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Ketika ditemui di Dewan Bahasa dan Pustaka di majlis 'Baca Puisi Kuala Lumpur' (BPKL) 2008 yang bertajuk 'Didaktisme & Kebenaran' minggu lepas, tokoh
Dr Asri ketika menyampaikan puisinya di majlis 'Baca Pusi Kuala Lumpur' di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini

agama yang sering melontarkan pemikiran positif dan bernas tentang isu semasa berkata, "langkah ini diambil sebagai pembuka jalan atau perintis ruang yang lebih untuk berdakwah."

Penulisan lirik puisi berkisar agama dan kemanusiaan adalah satu cara berdakwah juga, kata Mufti muda itu lagi.

"Sebenarnya saya sudah lama berjinak di dalam penulisan puisi. Puisi-puisi ini akan diberi melodi oleh komposer Nasir dan disampaikan oleh penyanyi Aishah.

Tengoklah kalau semuanya berjalan lancar, album yang mengandungi lapan puisi ini akan diterbitkan dalam masa terdekat," jelas Dr Asri yang menyampaikan dua buah puisi dari koleksinya petang itu - Yang Benar Tetap Benar dan Aku Rela.

Turut sama hadir pada acara majlis BPKL itu adalah Prof Rahman Shaari yang bertindak sebagai hos, A.Rahman Amiruddin @ Farouk, Setiausaha Politik Menteri Pelancongan, Datuk Abdul Rahim Abu; Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Salleh Yusup; Timbalan Ketua Pengarah DBP, Kamarul Zaman Shaharudin dan Ketua 1 Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam), Mohamad Daud Mohamad.

Selain Aishah, penyanyi lain yang telah dikenal pasti ialah Nash Lefthanded, Dayangku Intan dan kumpulan Damascus. Album ini akan memperkenalkan 'Dr Maza & The Algebra.'

"Kami memilih nama Algebra kerana ia dikenali oleh semua kaum. Diharapkan album ini juga akan dapat diterima ramai," jelasnya lagi.

Menurut Mufti yang berusia 36 tahun itu, dakwah mempunyai banyak cabang dan kita tidak seharusnya menyempitkan ruang dakwah itu. Album seperti yang akan diusahakan nanti merupakan salah satu usaha memperluaskan ruang dakwah kerana penyampaian mesej yang berteraskan agama dan kemanusiaan.

Dr Asri berkata, album itu akan diterbitkan bersama oleh komposer Xifu Abdul Naser Abdul Rahman bersama komposer/penggubah lagu Dakmie. Kesemua lapan buah lirik puisi itu telahpun siap dan separuh darinya telahpun diberi melodi.

Antara puisi-puisi itu ialah Aku Rela, Yang Benar Tetap Benar, Biarlah Aku Di Daerah Ini, Derita Bonda Yang Sepi, Islam Di China dan Aku Bukan Musuh Harta.

“Selain dari Aishah, beberapa penyanyi lain akan dipilih oleh pencipta lagu. Konsep album itu tidak semestinya berbentuk nasyid kerana yang penting adalah mesej yang hendak disampaikan," kata Dr Asri yang juga lebih dikenali sebagai Dr MAZA.

Katanya lagi, usaha menerbitkan album ini juga adalah sebagai satu langkah beliau untuk menyediakan hiburan alternatif kepada ornag ramai.

“Selama ini orang selalu cakap saya hanya pandai mengkritik artis saja. Peluang ini sebagai mendekatkan diri dan memberi pilihan alternatif hiburan yang baik," katanya lagi.

Prof Rahman Shaari bertindak sebagai hos majlis

Selain pembikinan album, Dr Asri juga sudah mendapat tawaran untuk membuat skrip agama bagi filem dan drama. Namun sehingga kini, beliau masih mempertimbangkan samada ingin menceburkan diri ke arah itu.

Malah, khabarnya sudah ada dua tiga produser filem yang membuat tawaran pada beliau.

"Saya mungkin bergiat dalam filem juga. Mungkin dalam penulisan atau penyeliaan skrip. Saya tidak mahu orang bercakap Mufti hanya pandai bercakap dan membuat larangan tetapi tidak menunjukkan alternatif yang baik sebagai galakan,” kata Dr Asri lagi.

Dr Asri sering mendapat liputan media. Yang terbaru ketika beliau mengajukan surat bantahan kepada Pejabat Menteri Besar Perlis, menghalang penyanyi Faizal Tahir dari membuat persembahan dalam Jom Heboh 2008.

Ketika ditanya samada beliau sanggup memberi peluang kedua pada Faizal di Perlis.

"Saya tak ada masalah kalau dia nak buat persembahan di negeri lain. Tapi di Perlis, dia kena berubahlah....Masalahnya dia hendak berubah tak?," jelas Dr Asri.

Dr Asri yang terkenal dengan sikap liberalnya tentang banyak perkara, walau bagaimanapun tidak dapat 'menerima' aksi Faizal yang disifatkan sebagai 'childish' dan kebudak-budakkan itu.

"Saya tidak menghukum dia pasal persembahannya yang membuka baju tu. Itu cerita lama. Ini yang aksi menjerit-jerit, tunjuk tangan dan buka mulut cara macam tu. Itu tidak manis. Semua itu boleh mendatangkan pengaruh buruk," katanya lagi.

Bagaimana pula dengan baju Superman yang sinonim dengan imej Faizal Tahir, sementelah pula Faizal adalah jurucakap pada jenama tersebut?

"Biarlah...dah dia suka cara macam tu. Nak buat macam mana..." kata Mufti Perlis ketika mengakhiri bicara petang itu.

Mungkinkah Dr Asri akan memberi peluang untuk Faizal Tahir menyanyikan satu lagu di dalam albumnya nanti?

"Tengoklah....," kata Dr Asri.

www.mstar.com.my

No comments:

Post a Comment