Pak Lah mahu dihentikan EGM
Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu semua Umno Bahagian menghentikan tindakan mengadakan mesyuarat tergempar (EGM) untuk mendesak peralihan kuasa dalam parti dilaksanakan sebelum Disember ini.
Sebaliknya, presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, parti harus memberi fokus kepada isu-isu rakyat seperti kenaikan harga minyak dan barang makanan, serta reformasi badan
kehakiman.
"Ini semua (isu yang didesak dan menjadi keperluan rakyat) yang perlu dilihat, tapi nampaknya orang lebih melihat kepada soal pemilihan dalam parti," katanya.
Beliau menambah, Umno akan mengurangkan tumpuan pada isu-isu dalaman parti walaupun isu tersebut sering menarik minat ramai.
"Kita akan buktikan pada rakyat bahawa soal parti, kita akan uruskan hal parti. Bila tiba masanya nanti, semua ahli parti akan mengambil bahagian masing-masing dan menentukan kepimpinan parti," katanya.
Proses demokrasi dalam parti, tegas beliau, tetap akan berjalan semasa pemilihan Umno Disember ini, "pada masa itu kita undilah, kita tidak perlu gembar-gemburkan, tidak perlu.
'Tahu kemampuan mereka'
"Sebenarnya kita kenal semua dan semua orang tahu apa mereka buat, apa kemampuan mereka, apa kebolehan mereka, apa salah mereka, apa yang tidak elok dengan mereka. Bila tiba masanya kita buat mesyuarat dan masa itulah kita tentukanlah apa yang patut ditentukan.
"Tapi yang pentingnya kita memahami dan kita rasa bertanggungjawab untuk menggerakkan parti kita dan mendukung kerajaan terhadap perkara-perkara yang ada hubung kait dengan keperluan dan desakan rakyat."
Beliau menyeru kepada Umno dan BN agar memberi dukungan kepada kerajaannya untuk memulihkan sokongan rakyat yang telah banyak terhakis seperti ditunjukkan dalam pilihanraya umum.
"Yang menjadi isu paling tinggi sekali, berkaitan dengan isu kenaikan harga minyak yang menyebabkan kenaikan harga barang. Dan yang paling penting juga tentang masalah yang mungkin timbul dengan
kekurangan makanan," katanya lagi.
Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang merangka cadangan penyediaan stok penimbal bagi menghadapi risiko krisis makanan negara dan ia akan dikemukakan kepada jemaah menteri.
Kerajaan, tambahnya, bercadang menyediakan kemudahan rumah berkualiti yang mampu dimilik oleh rakyat terbanyak.
http://www.malaysiakini.com/news/82069
No comments:
Post a Comment