Penjenayah maut
KUALA LUMPUR: Cubaan dua penjenayah melarikan diri dengan merempuh kereta peronda polis gagal selepas seorang daripada mereka mati ditembak di Taman Desa Cheras, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi, penjenayah berusia 34 tahun itu mati di tempat kejadian manakala rakannya cedera parah.
Suspek yang menaiki sebuah Mercedes Benz dikatakan berkelakuan mencurigakan di depan rumah teres, menyebabkan orang awam menghubungi polis.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Samah Mat, berkata polis yang menerima maklumat daripada orang awam bergegas ke tempat kejadian.
“Sebaik sampai, polis melihat kereta Mercedes berwarna hitam dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di depan rumah teres.
“Polis pergi ke arah kenderaan itu untuk melakukan pemeriksaan, namun suspek yang menyedari kehadiran polis cuba lari dengan mengundurkan kenderaannya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.
Beliau berkata, ketika mengundurkan kenderaan untuk melarikan diri, suspek melanggar kereta peronda polis. Suspek sekali lagi cuba lari namun gagal apabila keretanya terlanggar papan tanda.
Menurutnya, polis melihat seorang suspek yang duduk di sebelah pemandu memegang senjata, dipercayai pistol.
“Melihat suspek bersenjata, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri yang mengenai kedua-dua lelaki itu.
“Seorang lelaki berusia 34 tahun yang duduk di kerusi depan sebelah pemandu mati di tempat kejadian, manakala pemandu kereta berusia 25 tahun cedera dan dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.
Abu Samah berkata, pemeriksaan polis dalam kenderaan suspek menemui sepucuk pistol bersama 11 butir peluru dan selaras pump gun mainan.
Katanya, turut ditemui dalam kereta adalah sebilah parang dan pisau Rambo dipercayai digunakan untuk tujuan samun.
“Siasatan mendapati lelaki yang mati itu memiliki enam rekod pelbagai kesalahan jenayah lampau. Kenderaan digunakan suspek juga dilaporkan dicuri di Johor pada 1 Februari lalu dan menggunakan nombor plat pendaftaran palsu,” katanya.
Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui pembabitan suspek dalam kes jenayah dan mereka beralamat di sekitar Lembah Klang.
Sepasukan polis dari Unit Forensik turut dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu penyiasatan. Mayat suspek dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat.
Mereka yang ada maklumat mengenai kejadian itu boleh menelefon Rakan Cop 03-21159999 atau balai polis berhampiran.
http://www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment