04 April 2008

Sokong Anuar Zain di hukum

Kerajaan digesa bertindak terhadap artis, pengusaha filem keterlaluan

KUALA LUMPUR, 4 April (Hrkh) - Promosi budaya Barat yang wujud dalam budaya popular di negara ini oleh media telah mengundang generasi muda negara ini untuk melakukan perkara yang sama.

Ini terbukti apabila penyanyi popular, Anuar Zain sudi membenarkan peminat-peminat wanitanya berkelakuan tidak senonoh (mencium dan memeluknya) ketika majlis 'A Nite With Anuar Zain' sehingga menggambarkan sikap yang tidak patut ada pada diri seorang artis yang merupakan 'public figure'.

Amat menyedihkan, apabila artis beragama Islam di negara ini sendiri sanggup mengenepikan hukum agama dan budaya bangsa hanya semata-mata atas tiket 'keseronokan'.

Perkara ini turut mendapat perhatian Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang menyifatkan perbuatan itu tidak menitikberatkan soal nilai dan akhlak seolah-olah ia tidak lagi menjadi keutamaan.

Setiausaha Agung PKPIM Abdul Muntaqim Zulkipli berkata, fenomena ini perlu dipandang serius kerana dikhuatiri negara akan mengalami kerugian sumber manusia dan seterusnya mengganggu-gugat kestabilan dalam negara.

Tegasnya dalam satu kenyataan, pihak berkuasa, seperti Kementerian Penerangan harus mengambil tindakan tegas terhadap tindakan yang dibuat oleh penyanyi tersebut.

"Jika sebelum ini perbuatan Faizal Tahir di atas pentas dianggap sebagai tidak sesuai dan mendapat denda yang sewajarnya, maka hasrat Anuar Zain untuk melakukan sesuatu yang lebih melampau itu pun harus diambil tindakan yang sewajarnya," katanya.

Tambahnya, apabila generasi muda di negara ini banyak dihidangkan dengan rancangan dan aktiviti hiburan, sehingga mengakibatkan generasi muda hilang idealisme perjuangan dan hilang kepedulian sosialnya.

Apa yang membingungkan dan merisaukan lagi katanya, kelahiran satu lagi filem yang berpotensi untuk merosakkan pegangan agama generasi muda iaitu Filem 'Akhirat' terbitan Sri Saheb Production Sdn. Bhd. merupakan satu lagi filem yang menuruti filem-filem 'tanpa nilai' yang sebelumnya seperti Sepet, Gubra dan Anak Halal.

Katanya, penerbitan filem 'Akhirat' ternyata bercanggah dengan asas nilai dan budaya setempat, khususnya nilai-nilai Islam.

"Malah, apabila produsernya S. Baldev Singh menyatakan bahawa filem 'Akhirat' ditayangkan bersempena dengan Maulidur Rasul, hal itu jelas merupakan satu penghinaan kepada agama Islam,"katanya.

Bidas beliau, jika pihak kerajaan sebelum ini mengambil pendirian tegas terhadap klip video 'Fitna' yang menghina Islam, maka pihak berkuasa harus juga mengambil pendirian yang tegas terhadap filem 'Akhirat' yang turut menghina agama Islam.

"Filem tersebut perlu diharamkan dan pihak kerajaan perlu memastikan filem-filem seperti ini tidak akan dihasilkan lagi. Pihak media, para penghibur dan pihak berwajib haruslah lebih bertanggungjawab khususnya dalam mencorak budaya popular dan menghadirkan hiburan kepada masyarakat," katanya.

Katanya, soal pemerkasaan budaya perlu diberikan perhatian yang serius agar kita tidak membawa budaya-budaya barat yang tidak sihat dan bercanggah dengan nilai-nilai agama dan bangsa setempat.

Justeru, penguatkuasaan yang lebih serius adalah perlu, jika pada awal tahun 90-an dahulu artis-artis tidak dibenarkan untuk berambut panjang sekalipun, maka kini sikap artis dan penghibur yang tidak bermoral juga perlu diberikan perhatian yang serius. - mks.

http://www.harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment