Agendadaily.com penal undangan rancangan Bersemuka Dengan Media di RTM 1
Pengarang Agendadaily Hanafiah Man adalah salah seorang dari dua penal undangan rancangan Bersemuka Dengan Media di RTM 1 Selasa malam.Rancangan itu menampilkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Seorang lagi penal undangan rancangan yang dihoskan oleh Sabaruddin Ahmad Sabri ialah Penolong Editor Bernama Hafizah Kamaruddin.
Topik perbincangan rancangan kali ini ialah mengenai keputusan kerajaan membenarkan RTM mengadakan siaran langsung selama 30 minit sesi soal jawab Parlimen yang akan bermula 30 April ini.
Ini adalah kali pertama wartawan dari sebuah laman web berita alternatif diundang menjadi penal.
Ia menepati kenyataan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabrey Cheek baru-baru ini untuk membuka ruang kepada para wartawan dari media alternatif dan blogger tampil dalam rancangan isu-isu semasa terbitan stesyen televisyen itu.
Rancangan Bersemuka Dengan Media nyata mendapat sambutan hangat dari berdasarkan soalan bertalu-talu yang turut dikemukakan oleh para penonton dan SMS pendapat yang diterima.
Dalam soal jawab dengan penal di rancangan itu Nazri antara lain memberitahu kerajaan terpaksa membelanjakan duit rakyat hampir RM16 juta sekiranya siaran langsung hendak diadakan sepanjang 92 hari persidangan parlimen berlangsung.
Menurut Nazri, siaran langsung selama setengah jam itu yang bermula pukul 10 pagi akan melalui tempoh percubaan selama sebulan ataupun 16 hari parlimen bersidang untuk melihat sambutan rakyat.
"Sekiranya ia mendapat sambutan menggalakkan maka siaran langsung ini mungkin dilanjutkan selama 90 minit untuk merangkumi seluruh sesi soal jawab. Dan jika ia masih mendapat sambutan luar biasa, ia akan bersiaran langsung sepanjang hari persidangan," katanya.
Nazri juga mengesahkan laporan bahawa mesyuarat kabinet akan diadakan setiap Jumaat dan bukan pada Rabu seperti sebelum ini bagi membolehkan semua menteri hadir pada setiap sesi sidang Dewan Rakyat.
Beliau berkata perubahan ini juga berkaitan siaran langsung selama 30 minit yang diadakan pada sesi soal jawab Parlimen.
"Sebelum ini, kita lihat semasa sesi soal jawab menteri yang tidak dapat hadir meminta Setiausaha Parlimen atau timbalan mereka untuk menjawab bagi pihak mereka.
"Dengan siaran langsung ini menteri sendiri yang akan menjawab soalan-soalan yang ditujukan kerana rakyat akan memerhati sesi tersebut," katanya.
Nazri berharap siaran langsung persidangan Parlimen membolehkan ahli-ahli parlimen lebih berhati-hati dengan tutur kata dan kelakuan mereka.
"Ada ahli yang kadangkala terlepas kata semasa persidangan parlimen. Saya berharap dengan siaran langsung ini, secara tidak langsung ahli parlimen takkan menggunakan bahasa yang kesat.
"Ini termasuk isu-isu sensitif kerana masyarakat Malaysia merupakan masyarakat yang berbilang kaum. Walaupun mempunyai kekebalan di dalam dewan, tetapi sekiranya mereka cuba gunakan hasutan kaum, tindakan tetap akan diambil," katanya.
http://agendadaily.com
No comments:
Post a Comment