21 April 2008

Selangor FM bagai lembu dicucuk hidung?

Selangor FM akhirnya ke Angkasapuri

Jumaat, 18 April, 2008, Selangor FM ke udara di studio Wisma Radio@Angkasapuri, Jalan Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Disahkan, bilik operasi Selangor FM di Tingkat 4 Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah @SUK, Shah Alam, dikosongkan mulai pagi ini, dan selesai Isnin, 21 April. Datuk Ahmad Shabery Cheek, peneraju kementerian penerangan pasca Datuk Zainuddin Maidin, pasti lega kerana antara arahan sulungnya lewat 'kuasa seorang menteri', dipatuhi staf "didikan" Shah Alam agar berpindah ke ruang baharu WR@Angkapuri, tepat waktunya.

"Kita akan dapatkan tempat lain yang sesuai untuk menempatkan Radio Selangor FM. Yang pasti kita akan terus menghampiri hati rakyat Selangor menerusi Radio Selangor FM", antara ungkapan autoritatif Ahmad Shabery ketika acara di Nilai, 12 April.

Yang kita maklum, tindakan Selangor FM segera dipindah ke Kuala Lumpur, ekoran surat YAB Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim, 3 April, yang "...memohon diwujudkan satu slot khas supaya YAB Dato' Menteri Besar dan YB. Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dapat memberi penerangan mengenai program, polisi dan pembangunan kepada masyarakat negeri Selangor.."

Surat Tan Sri Khalid ringkas dan jelas. Tiada penjelasan atau justifikasi lanjut mengenai keperluan "ke udara" setiap hari ke? seminggu beberapa kali ke?, atau liputan khas ke udara semasa mesyuarat mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Ahmas) ke?

Sehubungan itu, kita tidak berhasrat memperkatakan andaian siapa untung siapa rugi. Yang pasti, Tan Sri Khalid sudah memohon slot berkenaan menerusi surat dan lisan.

Tan Sri Khalid kini "ketua" kerajaan negeri Selangor. Mungkin, kerajaan pusat menerusi Datuk Shabery "buat-buat" tidak mengenal beliau?

Tempat operasi Tan Sri Khalid selaku Menteri Besar, dan semua Ahmas pun di bangunan yang menempatkan bilik Selangor FM. Cuma berlainan tingkat.

Sebagai "tuan ampunya kerajaan negeri" yang baharu, Tan Sri Khalid sedia memberi "ihsan" kepada Selangor FM untuk beroperasi di bangunan SUK. Hal sama diberi oleh "tuan ampunya kerajaan negeri Selangor" yang terdahulu hingga "penamatan kuasa secara luar jangka" menjelang fajar awal 9 Mac.

Jika kerajaan Datuk Seri Khir diberi slot atau liputan oleh Selangor FM, maka sewajarnya kerajaan Tan Sri Khalid pun mendapat hak yang sama.

Dua ketua kerajaan negeri Selangor sama-sama dipilih menerusi pilihan raya. Bezanya, cuma berlainan parti dukungan.

Mungkin kerana berlainan parti dukungan, menyebabkan Datuk Ahmad Shabery "dipaksa" menafikan hak ketua kerajaan Selangor daripada Parti Keadilan Rakyat/PKR, manakala ketua kerajaan negeri sebelumnya ahli parti yang menguasai kerajaan pusat.

Atau, Datuk Ahmad Shabery tersinggung kerana Tan Sri Abdul Khalid pernah tercakap, jika Selangor FM tidak memberi slot khas, maka Selangor FM wajarlah beroperasi di premis berasingan.

Memang kurang sopan jika Selangor FM, yang sebumbung dengan operasi kerajaan negeri sekarang, tidak membalas ihsan dengan pemberian slot yang diminta. Tentu pakatan PKR, PAS, DAP ikhlas untuk menyebar dasar dan maklumat demi faedah rakyat Selangor yang memilih kerajaan sekarang, dan diterajui Tan Sri Khalid.

Jika diteliti ruang lingkup persoalan, ternyata Datuk Shabery kurang matang membuat keputusan, dengan mendadak memindahkan operasi Selangor FM ke Kuala Lumpur.

Dalam suasana parti dukungan beliau tuduh menuduh mencari punca kemerosotan sokongan pada PRU-12, di samping kerancakan badan bukan kerajaan Melayu (NGO) membahas soal perpaduan dan ketuanan Melayu, Ahmad Shabery sepatutnya bijak menggunakan suasana agar "bulu ayam yang tercarik dapat dicantum semula".

Walhal jika beliau bertemu dan berbincang dengan Tan Sri Khalid, mungkin hasilnya "sama-sama menang", dan keikhlasan bekerjasama mewujudkan perpaduan Melayu berjaya dirintis antara dua tokoh Melayu daripada dua parti yang berbeza..

Malang, Datuk Shabery, pemimpin muda parti kerajaan pusat, walaupun sebelumnya pendukung PAS yang setia, namun kerana sudah terpaut dengan budaya "tunjuk kuasa" maka, lantas YB kelahiran Terengganu ini terlupa konsep "budi bicara" dalam pentadbiran politik mahupun pentadbiran awam.

Namun, Datuk Shabery masih boleh membuktikan yang Umno/BN masih memiliki sikap ihsan dengan membuat liputan dan laporan yang "seimbang" diudarakan Selangor FM.

Jika Selangor FM masih menyiarkan berita yang mengandungi unsur pembohongan, terutama cuba melecehkan pentadbiran kerajaan sekarang, awas! Rakyat Selangor sudah tahu sangat dan meluat terhadap gelagat dan perbuatan tidak ikhlas kalangan pemimpin Umno/BN.

Majoriti rakyat Selangor kini semakin mengagumi kepakaran, ketelusan, kebolehan dan kebertanggungjawapan kalangan pemimpin Pakatan Rakyat pimpinan YAB Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim.

http://www.detikdaily.net

No comments:

Post a Comment