13 April 2008

Peraturan masuk Islam yang baru terus dibantah

ACCIN Tidak Setuju Peraturan Beritahu Keluarga Bila Peluk Islam

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Jawatankuasa Gabungan Penyelarasan Badan-Badan Bukan Kerajaan Islam (ACCIN) tidak bersetuju dengan peraturan mewajibkan orang bukan Islam yang ingin memeluk agama Islam memaklumkan kepada keluarga mereka mengenai status agama mereka.

Pengerusinya Sabariah Abdullah berkata ini kerana tindakan itu telah mencabuli hak mereka yang ingin memeluk agama Islam dan seolah-olah memaksa golongan itu untuk memberitahu ahli keluarga walaupun situasi pada masa itu masih tidak sesuai.

"Terpulang kepada mualaf ini sama ada maklumkan kepada keluarga ataupun tidak kerana keadaan itu amat sukar untuk diterima keluarga dan akan menimbulkan pelbagai masalah sama ada terhadap orang yang memeluk agama Islam ataupun ahli keluarganya," katanya pada sidang akhbar di sini, Ahad.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Khamis lepas mengenai peraturan baru itu bagi mengelak masalah apabila mereka yang telah memeluk agama Islam itu meninggal dunia kelak.

Sabariah berkata masalah utama yang dialami para mualaf ialah penolakan daripada ahli keluarga, ugutan dan bimbang jika disingkirkan keluarga.

ACCIN merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dianggotai 16 NGO Islam utama seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA), Persatuan Dakwah dan Kebajikan Saudara Baru (India) Semalaysia (Al-Hidayah) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

Sabariah berkata: "Kebanyakan pengalaman mualaf dan anggota kami adalah pada awalnya keluarga tidak boleh terima hakikat itu dan mengikut rekod sebanyak 95 peratus penolakan daripada keluarga."

"Ada juga ibu bapa yang mengugut untuk membunuh diri, minum racun atau mencederakan diri ataupun ahli keluarga yang sudah memeluk agama Islam menyebabkan mualaf ini terpaksa merahsiakan status agama mereka," katanya.

Beliau berkata peraturan baru yang ditetapkan kerajaan itu akan menambah lebih banyak masalah sekaligus merencatkan hasrat orang bukan Islam untuk memeluk agama Islam.

Sabariah berkata selain itu, ia dilihat sebagai tidak menghormati serta mencabar peranan Mahkamah Syariah dan segala masalah berkaitan Islam patut dirujuk kepada Majlis Agama Islam Negeri.

Sabariah berkata ada cara lain bagi menyelesaikan masalah perebutan mayat ataupun kesulitan pengkebumian apabila mereka yang memeluk agama Islam itu meninggal dunia dan bukannya dengan meletakkan peraturan yang akan menambah ketegangan keluarga.

"Selama ini pun kita tidak pernah ada mana-mana rekod di mana orang Islam ataupun jabatan agama Islam yang menuntut mayat bukan Islam...jenazah yang dituntut hanya yang terbukti mereka mualaf yang berdaftar dan mereka memang beragama Islam," katanya.

Beliau berkata sebarang peraturan berkaitan Islam harus mempunyai kajian terperinci serta menerima pandangan dan pendapat pihak berpengalaman seperti NGO Islam yang berkaitan.

"Di dalam Islam tidak ada undang-undang sebegitu, jadi segala peraturan yang hendak digubal mestilah menerima pakai pandangan daripada pelbagai pihak berkenaan risikonya kerana pertukaran agama bukan perkara kecil," katanya.

Beliau berkata ACCIN juga berhasrat untuk bertemu Abdullah secepat mungkin bagi menyampaikan hasrat mereka mengenai peraturan baru itu.

"Kami harap kenyataan kami dilihat sebagai sesuatu yang positif dan tidak dilihat sebagai satu kenyataan yang menentang mana-mana pihak," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment