KOTA BHARU: Pelajar perempuan yang ditemui mati di Kampung Reka Dalam, Chegar Bedil, dekat Jeli, Ahad lalu dikatakan dirogol terlebih dahulu sebelum lehernya dijerut dengan akar pokok oleh individu yang dipercayai dikenali mangsa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mazlan Lazim, berkata mangsa dipercayai dirogol di kawasan berhampiran sebelum diheret ke tempat mayatnya ditemui dalam keadaan separuh bogel.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, polis mendapati tangan mangsa turut diikat dengan tudung dipakainya selain menemui kasut, kain serta seluar dalam tidak jauh dari tempat mayatnya ditemui dalam keadaan ditimbus dengan daun dan pohon buluh serta semak.
“Kami tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan lebih daripada seorang dan suspek dipercayai dikenali mangsa. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli di talian 09-9440204 atau menerusi Rakan Cop,” katanya di sini, semalam.
Katanya, setakat ini, belum ada tangkapan dibuat dan gerakan memburu suspek masih dilakukan.
Beliau berkata, jenazah mangsa sudah diserahkan kepada ahli keluarganya di kampung berkenaan untuk urusan pengebumian selepas selesai dibedah siasat di Hospital Jeli (HJ), kira-kira jam 4 petang kelmarin.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh,” katanya.
http://www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment