Mahathir 'lebih bisa' dari blog: Zam
Semalam, Datuk Seri Zainuddin Maidin mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad wajar dipersalahkan atas kekalahan memalukan BN dan Umno dalam pilihanraya umum lalu.
Hari ini, bekas wartawan kanan kumpulan Utusan Melayu Bhd yang dianggap dekat dengan Dr Mahathir, meneruskan kritikannya dengan menyifatkan mantan perdana menteri itu "api dalam sekam" Umno.
Bekas menteri penerangan itu berkata kenyataan Dr Mahathir yang kesal melantik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai penggantinya menggugat Umno dan memaksa parti itu mengumpul tenaga mendapatkan sokongan.
"Tidak dinafikan kenyataan itu merupakan 'api dalam sekam' yang terus merebak di dalam Umno," kata Zainuddin dalam satu kenyataan.
Kecaman bekas presiden Umno itu, tambahnya, secara terbuka sejak 2006 menyebabkan kewibawaan Perdana Menteri terhakis, lapor Bernama malam ini.
"Beliau (Dr Mahathir) tidak sedar atau mungkin sengaja tidak mahu sedar bahawa kredibilitinya sebagai seorang bekas perdana menteri masih tinggi dan kuat, pengaruhnya sebagai legenda pemimpin negara masih berakar umbi.
"Maka itu sumbangannya terhadap menghakis keyakinan rakyat berbilang kaum (terhadap BN) adalah mengatasi pengaruh blog dan laman web... kata-katanya berbisa dan beracun," kata Zainuddin lagi.
Zainuddin, dikenali juga Zam, menyebut tiga kenyataan utama yang dilontarkan Dr Mahathir sehingga BN hilang majoriti dua pertiga dan empat lagi negeri pada 8 Mac, lapor akhbar The Star hari ini.
Pertama, tambah Zam ketika ditemui di rumahnya, kenyataan Dr Mahathir yang menyebut beliau menyesal melantik Abdullah dan perkhidmatannya hanya untuk satu penggal.
Faktor ketiga, lapor akhbar itu lagi, serangan Dr Mahathir kepada menantu Abdullah dan naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang didakwanya berpengaruh besar dalam pentadbiran kerajaan.
Walaupun bekas ketuanya itu bukan satu-satunya faktor utama, malah banyak lagi faktor penyumbang ketewasan teruk BN tetapi peranan Dr Mahathir tidak disebut setakat ini, kata Zainuddin lagi.
Tinjauan Malaysiakini sewaktu kempen pilihanraya di Kelantan awal Mac lalu, poster yang menyebut Dr Matahir pernah berkata "Pak Lah bukan pilihan pertama saya" disebar meluas (foto atas kiri).
Mengulas tentang Khairy dalam kenyataan terbarunya, Zam dilaporkan berkata, antara kenyataan Dr Mahathir yang "paling meracuni" bukan sahaja orang Melayu tetapi juga bukan Melayu kalangan profesional dan ahli akademik ialah mengenai peranan menantu Abdullah itu dalam percaturan politik dan ekonomi negara serta peranan penasihat-penasihat di tingkat empat (Jabatan Perdana Menteri).
Tiga hari selepas pilihanraya umum, sewaktu meninggalkan pejabatnya di Angkasapuri, Zainuddin mendakwa wujud "suatu percubaan untuk mengambil alih kepimpinan negara oleh golongan muda yang dibuat secara terurus dan terancang" demi "perubahan politik secara drastik."
Rancangan itu bagaimanapun gagal kerana dipatahkan oleh tsunami politik yang berlaku, kata Zam di perenggan pertama dalam kenyataan bertulisnya 11 Mac lalu.
Zainuddin tidak menyebut nama kumpulan, individu atau modus operandi "golongan muda" yang cuba mengambil alih pucuk kepimpinan negara secara terurus dan terancang itu.
Bagaimanapun Khairy dan penyokongnya sering dianggap sedang membariskan bakat-bakat baru untuk memastikan sokongannya semakin kuat apabila beberapa puluh peratus calon BN terdiri muka baru.
Menurut Bernama lagi, Zainuddin berkata Dr Mahathir bertanggungjawab menanam rasa tidak yakin orang ramai terhadap pentadbiran Abdullah terutama kritikannya dalam isu jambatan bengkok merentasi Selat Tebrau di Johor.
Hasilnya, tambah Zainuddin, pilihanraya umum menyaksikan "undi protes yang paling membinasakan" BN dan menjadi "titik hitam" yang memisahkan parti itu daripada kekuatannya selama ini.
"Oleh itu meletakkan kesalahan keruntuhan BN ini semata-mata kepada kepimpinan Abdullah adalah tidak wajar kerana jelas sekali tangan yang membinanya (Dr Mahathir) juga telah meruntuhkannya kerana perasaan dendam dan marah tidak terkawal," beliau dipetik sebagai berkata.
Sehari selepas pilihanraya umum, Dr Mahathir mendesak Abdullah meletakkan jawatan, selain menyalahkan beliau dan Khairy atas ketewasan mengejut BN.
http://www.malaysiakini.com/news/80618
No comments:
Post a Comment