09 April 2008

Lelaki cuba perkosa kanak-kanak diberkas penduduk

Mungkin ada kaitan kes Nurin

KANAK-KANAK perempuan (gambar besar) berusia 10 tahun yang disyaki mangsa cubaan perkosa dibawa ahli keluarganya selepas membuat laporan polis di Kota Damansara kelmarin. Gambar kecil, SHARLINIE (kiri) dan Nurin Jazlin.

PETALING JAYA – Polis sedang menyiasat sama ada lelaki yang cuba memperkosa seorang kanak-kanak perempuan di Kota Damansara dekat sini kelmarin turut terbabit dalam kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin dan kehilangan Sharlinie Mohd. Nashar.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, lelaki tempatan berusia 48 tahun itu akan disoal siasat manakala siasatan akan dikaitkan dengan kedua-dua kes yang masih belum dapat diselesaikan itu.

“Kita siasat lelaki ini dari pelbagai sudut termasuk jika ada kaitan dia dengan kes Nurin, Sharlinie atau beberapa kes lain,’’ katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, menurutnya, setakat ini, polis belum menemui bukti yang boleh mengaitkan lelaki tersebut dengan kes Nurin dan Sharlinie tetapi polis akan terus menyiasat termasuk melakukan pemeriksaan ke atas rumah lelaki terbabit.

Lelaki itu yang turut mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan kes mendatang kecederaan ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi siasatan lanjut.

Lelaki cuba perkosa dibelasah

PETALING JAYA - Tindakan seorang lelaki yang dipercayai cuba merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun akhirnya membawa padah apabila teruk dibelasah penduduk di sebuah pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kota Damansara, di sini semalam.

Kejadian pukul 1.50 petang itu disedari oleh seorang penduduk yang ternampak suspek berusia 40 tahun menanggalkan pakaian pelajar tahun empat itu di sebuah rumah kosong di tingkat sembilan pangsapuri tersebut.

Menurut seorang penduduk, Irwandi Zulkifli Rosli, 30-an, saksi tersebut yang mengenali kanak-kanak itu segera mendapatkan bantuan orang ramai sebelum memaklumkan kejadian kepada ibu mangsa.

"Ketika penduduk sampai ke tempat kejadian mangsa yang ditemui dalam keadaan tidak berpakaian dan sedang menangis manakala suspek telah melarikan diri," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Irwandi, penduduk kemudiannya terus pergi ke rumah suspek yang terletak di tingkat lapan di pangsapuri berkenaan dan mendapati suspek sedang bercukur di dalam rumah.

"Penduduk yang marah terus memukul lelaki tersebut selepas mangsa mengesahkan suspek adalah lelaki yang cuba merogolnya sebelum itu.

"Penduduk kemudian membuat laporan polis sebelum lelaki tersebut dibawa ke hospital," katanya.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa baru pulang dari sekolah dan menaiki lif untuk pulang ke rumahnya di tingkat 17 sebelum suspek masuk ke dalam lif dan kemudiannya cuba mengambil kesempatan terhadap mangsa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan kejadian berkata dan suspek cedera di muka, kepala dan badan dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan dan enggan mengulas lanjut mengenainya kerana siasatan sedang dijalankan.

http://www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment