29 April 2008

Ketua Pemuda MIC Kota Raja mati disamun

SHAH ALAM 28 April – Ketua Pemuda MIC Bahagian Kota Raja, S. Selvadhurai, (gambar) 42, ditemui mati dipercayai dibelasah oleh sekumpulan penjenayah dalam kejadian samun di Seksyen 25, Taman Seri Muda, di sini malam ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa yang difahamkan bekerja sebagai ejen insurans baru mengeluarkan wang daripada mesin ATM di sebuah bank berhampiran pejabat isterinya di kawasan itu.

Ketua Pemuda MIC Pusat, S. A. Vigneswaran, ketika dihubungi malam ini, mengesahkan mangsa tersebut ialah Selvadhurai.

Ketika kejadian, mangsa yang ditemani isterinya pergi ke bank itu untuk mengeluarkan wang sebelum ke pejabat isterinya selepas itu.

Utusan Malaysia difahamkan, sekumpulan penjenayah mengekori pasangan itu apabila kedua-dua mereka meninggalkan bank tersebut.

Mangsa kemudiannya dibelasah penjenayah terbabit, manakala isterinya sempat melarikan diri dan meminta bantuan orang ramai yang berada di situ.

Bagaimanapun, mangsa yang dibelasah teruk ditemui sudah meninggal dunia oleh orang ramai dengan kesan kecederaan di muka selain dipercayai dijerut.

Penjenayah pula dipercayai melarikan diri dengan menggunakan kenderaan yang diletakkan tidak jauh dari situ.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan jumlah wang tunai yang disamun, manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner, Nor Azam Jamaluddin yang mengesahkan kejadian itu memaklumkan, polis menerima laporan sebaik sahaja kejadian itu berlaku.

“Polis menerima maklumat daripada orang awam dan siasatan awal mendapati mangsa adalah lelaki.

“Gerakan memburu penjenayah sudah dijalankan.” katanya ketika dihubungi malam ini.

http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment