Hujan peluru di KLIA
SEPANG: Untuk tempoh tiga minit bermula jam 7.50 malam tadi, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, dihujani peluru bagaikan aksi filem.
Suasana menggemparkan itu memaksa puluhan orang dan petugas KLIA yang berada di luar pintu 8 balai pelepasan bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri walaupun tidak mengetahui apa yang terjadi.
Kejadian terbabit berlaku apabila sekumpulan empat perompak berbalas tembakan dengan dua pengawal keselamatan yang mengiringi dua pekerja pengurup wang yang membawa wang tunai kira-kira S$1.5 juta (RM3.45 juta).
Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Chua, berkata ketika kejadian, dia menghantar pekerjanya di lapangan terbang itu.
“Sebaik tiba di luar pintu 8, saya terdengar bunyi tembakan dilepaskan bertalu-talu hingga menyebabkan orang ramai lari menyelamatkan diri kerana ketakutan.
“Saya rasa macam filem apabila pengawal keselamatan dan penjenayah berbalas tembakan di lapangan terbang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Difahamkan perompak terbabit yang menaiki sebuah kereta BMW berwarna gelap mulanya menunggu dua pekerja pengurup wang berkenaan berjalan ke arah pintu 8 selepas keluar daripada sebuah kenderaan pacuan empat roda bersama dua pengawal keselamatan.
Mereka melepaskan tembakan bertubi-tubi hingga keempat-empat orang itu ketakutan lalu meniarap mengelak terkena tembakan.
Dalam keadaan kecoh itu, seorang daripada perompak terbabit merampas sebuah beg yang mengandungi wang tunai itu sebelum berlari ke kereta BMW berkenaan, dipercayai ditunggu dua rakan.
Melihat perompak itu cuba melarikan diri, dua pengawal keselamatan terbabit segera membalas tembakan hingga menyebabkan keadaan kelam-kabut akibat dihujani peluru yang dilepaskan secara rambang kedua-dua pihak.
Tembakan membuta tuli yang dilakukan kumpulan perompak terbabit menyebabkan enam orang, termasuk seorang anggota polis yang tidak bertugas dan seorang lelaki warga Nepal cedera terkena peluru sesat.
Difahamkan, anggota polis berkenaan berada di kawasan itu untuk bertemu rakannya sementara lelaki Nepal itu dipercayai berniaga di kawasan terbabit.
Anggota terbabit, Lans Koperal Zainuddin Mohd Isa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya cedera di paha kanannya selepas cuba meninjau keadaan sebaik terdengar bunyi tembakan.
Seorang rakannya, Ghani Hussin, 40, berkata selepas terdengar tembakan, dia meniarap kerana ketakutan.
“Saya berasa seolah-olah akan terkena tembakan,” katanya.
Pekerja pengurup wang dan pengawal keselamatan itu turut cedera di paha akibat ditembak penjenayah itu.
Semua mangsa yang cedera berusia 20 hingga 40 tahun dirawat di Pusat Rawatan Islam Cawangan KLIA sebelum dipindahkan ke hospital berdekatan.
Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Zahedi Ayub ketika ditemui di tempat kejadian, berkata siasatan awal mendapati perompak mungkin sudah merancang kegiatan jahat mereka itu.
“Rompakan itu mungkin sudah dirancang terlebih dulu kerana mereka seolah-olah mengetahui pergerakan mangsa.
“Perompak juga bertindak pantas apabila hanya mengambil masa tiga minit melarikan wang,” katanya.
Menurutnya, semua perompak itu tidak memakai sebarang penutup muka, berkulit gelap dan terdiri daripada empat hingga enam orang.
“Kami percaya mereka adalah warga tempatan, namun siasatan masih dijalankan. Kami akan melihat kembali rakaman CCTV bagi mengecam suspek,” katanya.
http://www.hmetro.com.my
Polis lancar buru perompak larikan RM3.5 juta dari KLIA
KUALA LUMPUR 10 April - Polis melancarkan gerakan besar-besaran memburu sekumpulan perompak yang melarikan wang hampir S$1.5 juta (RM3.5 juta) dalam kejadian tembak menembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sepang, Supritendan Zahedi Ayob berkata, pihaknya percaya kesemua suspek yang merupakan warga tempatan masih berada di sekitar Selangor dan sehingga kini masih tiada tangkapan dibuat.
Katanya, semua unit peronda polis di seluruh negara diarahkan mengesan kenderaan suspek dipercayai jenis pacuan empat roda Toyota Hilux dan BMW.
“Operasi sekatan jalan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor masih diteruskan di kawasan-kawasan strategik bagi mengesan penjenayah terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 7.50 malam itu, enam termasuk seorang anggota polis dan dua pengurup wang cedera ditembak dalam serangan hendap di pekarangan Balai Pelepasan KLIA.
Kejadian berlaku sebaik kedua-dua pengurup wang yang diiringi pengawal keselamatan keluar daripada kenderaan dengan membawa beg mengandungi S$1.5 juta untuk bertemu seorang lagi rakan yang baru tiba di Singapura.
Suspek dikatakan tiba-tiba muncul dan melepaskan tembakan ke arah mangsa sehingga mencederakan kaki mereka sebelum merampas beg tersebut.
Penjenayah itu melarikan diri menggunakan dua kenderaan dipercayai jenis BMW dan Toyota Hilux.
Sementara itu, Pengurus Besar Komunikasi Korporat Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Norliza Kamaruddin berkata, pihaknya turut membantu polis dalam menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.
Ditanya mengenai kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian katanya, beliau tidak dapat memberikan maklumat tepat mengenainya memandangkan Pengurus Besar Perkhidmatan Keselamatannya, Datuk Kamaruddin Mohd. Ismail kini berada di luar negara.
Tambahnya, ekoran kejadian malam tadi, orang ramai sudah boleh menggunakan semula Balai Pelepasan seperti biasa manakala beberapa panel cermin di Pintu 7 dan 8 yang pecah dalam kejadian itu sudah digantikan.
http://www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment