Ku Li kena cermin diri dulu
KUALA LUMPUR 6 April - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menawarkan diri merebut jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti Disember ini supaya mencermin dirinya terlebih dahulu.
Menurut Presiden UMNO, ini kerana disebabkan Tengku Razaleigh, Kelantan jatuh ke tangan Pas sehingga ke hari ini dan tidak mampu ditawan kembali oleh Barisan Nasional (BN).
Malah katanya, bekas Menteri Kewangan itu pernah diberikan peluang untuk menerajui UMNO dan BN Kelantan pada pilihan raya umum tahun 1999 tetapi usaha beliau juga gagal.
''Selepas itu apa yang UMNO Kelantan maklumkan, Tengku Razaleigh tak buat apa pun, tak bantu pun dan pilihan raya yang baru-baru ini pun dia tak bantu juga.
''Tapi sekarang... di kawasan dia pun hilang satu (kerusi Dewan Undangan Negeri) juga,'' katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penerangan Bersama Presiden UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Pada majlis itu Abdullah menyampaikan taklimat selama kira-kira dua jam kepada jentera penerangan UMNO bahagian yang memenuhi setiap ruang di dewan berkenaan.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak, Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Ketua Penerangan, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi (MT).
Tengku Razaleigh ketika berucap pada persidangan perwakilan khas UMNO Bahagian Gua Musang kelmarin membuat pelbagai dakwaan yang mengaitkan UMNO sebagai kehilangan arah tuju hingga hilang sokongan pada pilihan raya lalu.
Tengku Razaleigh turut mendakwa sampai saat ini, setelah hampir sebulan UMNO dan BN mengalami malapetaka politik yang dahsyat, tidak ada sebarang tindakan pemulihan diambil oleh pucuk pimpinan parti yang menunjangi kerajaan.
UMNO Bahagian Gua Musang menjadi bahagian pertama yang melakukan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang dijangka disusuli oleh beberapa UMNO bahagian yang lain termasuk UMNO Bahagian Cheras pada hujung bulan ini.
Ditanya tentang susulan MT kepada EGM UMNO Bahagian Gua Musang, Abdullah berkata, setiap perkara yang mengikut peraturan parti dan kemudiannya dikemukakan kepada MT pastinya akan dibincangkan.
''Kita (MT) tentulah kena bagi pandangan.
''Tapi seperti saya cakap tadi, Ku Li (Tengku Razaleigh) kena perlu lihat pada diri dia sendiri,'' ujarnya.
http://www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment