KABUL 27 April – Presiden Afghanistan, Hamid Karzai terselamat hari ini selepas militan melancarkan serangan menggunakan senjata api dan bahan letupan semasa perbarisan tentera, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan mencederakan lebih 11 yang lain.
Pergerakan Taliban mengaku melancarkan serangan tersebut tetapi menafikan ia percubaan untuk membunuh Hamid.
Pergerakan itu mendakwa tiga anggotanya terbunuh tetapi laporan itu tidak dapat disahkan oleh pegawai keselamatan.
Menurut seorang saksi, beberapa das tembakan dipercayai oleh penembak tepat ditujukan ke arah pentas yang menempatkan Presiden dan pegawai tinggi kerajaan.
Para pegawai berkata, Hamid dan anggota Kabinet, para duta, komander-komander tentera Amerika Syarikat (AS) meniarap di atas lantai atau dibawa keluar tanpa mengalami kecederaan.
Seorang pemberita yang berada di tempat kejadian memberitahu, para pengawal Presiden telah memberi perlindungan kepada Hamid serta-merta sambil menjerit ke arah orang ramai, “Jangan lari, awak akan ditembak.”
Hamid kemudiannya dikeluarkan dari tempat kejadian dengan sebuah kereta sementera kejadian tembak-menembak berterusan selama 15 minit.
Jurucakap Kementerian Pertahanan, Jeneral Mohammad Zahir Azimi berkata, seorang ketua suku puak terbunuh dan 11 cedera dalam kejadian itu.
“Dua atau tiga orang ahli parlimen cedera dalam kejadian,” katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment