Mangsa dirogol polis tiada kesan air mani
KUALA LUMPUR - Laporan hasil pemeriksaan yang diperolehi polis dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) semalam mengesahkan tidak terdapat kesan air mani atau luka pada kemaluan seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa rogol anggota polis.
Bagaimanapun, siasatan yang masih di peringkat awal itu akan diteruskan dan polis telah mendapat perintah tahanan reman terhadap anggota polis itu.
Pakaian mangsa yang mendakwa dirogol pula telah dihantar ke Jabatan Kimia bagi ujian forensik.
Seorang lagi anggota polis turut direman kerana seorang lagi wanita mendakwa dia menjadi mangsa cabul.
Kedua-dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi direman sehingga 7 April ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, pihaknya perlu mendapatkan keterangan daripada kedua-dua belah pihak untuk mengetahui sejauh mana kebenaran dakwaan kedua-dua mangsa tersebut.
"Kita tidak akan melindungi sesiapa termasuk kedua-dua anggota polis itu. Mereka tetap akan disiasat seperti orang lain yang kita tahan atas sesuatu kesalahan.
"Bagaimanapun, kita tidak pula menjumpai sebarang telefon bimbit milik kedua-dua mangsa yang didakwa dirampas oleh dua anggota polis berkenaan ketika kejadian itu,'' katanya.
Menurutnya, polis menjumpai sejumlah wang dalam dompet salah seorang anggota polis yang ditahan itu tetapi masih menyiasat sama ada wang tersebut milik suspek atau mangsa.
Semalam akhbar melaporkan, seorang pelacur mati terjatuh dari tingkat lima di sebuah hotel di Jalan Pudu ketika dia mahu melarikan diri setelah pelanggannya menyedari kehilangan dompetnya.
Dua lagi wanita yang tinggal bersama mangsa yang terjatuh di hotel sama pula mendakwa dicabul dan dirogol dua anggota polis pada hari yang sama tetapi di tempat lain.
Ketiga-tiga wanita rakyat asing itu didapati baru memasuki negara ini tiga hari lalu dengan menggunakan pas lawatan sosial.
http://www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment