02 April 2008

Blog mengambil masa bertahun-tahun sebelum terkenal - Abu Hassan UM

Jangan sekat 'bloggers' dengan undang-undang yang tak wajar

KUALA LUMPUR, 2 April (Hrkh) - Kebanjiran media alternatif di Malaysia khususnya pada Pilihan Raya Umum ke-12 baru-baru ini ternyata meninggalkan kesan kepada keputusan pilihan raya tersebut sekaligus mengejutkan semua pihak yang sebelum ini memperkecilkannya.

Salah seorang pemilik blog, Faisal Mustaffa menyambut baik mengenai usaha kerajaan bertemu dengan bloggers dan pengendali laman web.

Ujarnya, tiada masalah jika pihak kerajaan mahu mengadakan perjumpaan dengan semua pemilik blog termasuk pengendali laman web dengan tujuan mengadakan perbincangan serta menyelaraskan maklumat yang diterima.

Bimbang pertemuan jadi landasan sekatan

Namun beliau bimbang samada pertemuan itu akhirnya ianya menjadi sekatan atau memberikan ancaman kepada hak asasi manusia yang digariskan oleh perlembagaan.

"Kalau boleh, jangan wujudkan sekatan yang tidak sewajarnya kepada pemilik web dan blog.

"Jangan berikan ancaman seperti tindakan undang-undang yang tidak munasabah,sekaligus bercangggah dengan prinsip kebebasan dan hak asasi manusia," katanya.

"Sekiranya seseorang pemilik blog atau web tersebut dikenakan tindakan undang-undang atau apa jua isu yang dikenakan ke atasnya, maka ia hendaklah diberikan peluang untuk menjelaskan situasi tersebut bagi membela diri," ujarnya lagi.

Beliau turut mengakui bahawa setakat ini kerajaan masih tidak mempunyai sebarang polisi untuk mengekang kebebasan penulis blog dan pengendali laman web.

Beri bloggers ruang dapatkan maklumat sahih

Selain itu beliau turut mencadangkan supaya pengendali laman web dan blog perlu diberikan maklumat yang sahih bagi memastikan ulasan yang disampaikan menerusi laman web yang dimiliki itu benar.

"Mereka hendaklah diberikan maklumat yang betul dan tepat bagi memastikan ulasan dan pandangan yang dilontarkan menerusi blog masing-masing tidak tersasar daripada kebenaran atau fakta yang asalnya," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Tegasnya, penulis blog perlu diberi peluang untuk mendapat maklumat yang betul kerana apa yang disampaikan dalam karya mereka sedikit sebanyak boleh mempengaruhi pembaca yakni pengguna internet.

Sementara itu, seorang pengendali laman web alternatif yang enggan dikenali berkata kerajaan tidak mampu menyekat kemaraan perkembangan maklumat dalam kecanggihan era teknologi maklumat pada hari ini.

"Mungkin mereka boleh kenakan tindakan undang-undang, tetapi pengaruh globalisasi sukar untuk disekat daripada terus berkembang," katanya lagi.

Ujarnya, kebanjiran laman web dan blog pada pilihan raya umum yang lalu diakui berperanan sebagai ancaman kepada media arus perdana yang sudah kehilangan 'taringnya' kerana rakyat pada saat ini 'dahagakan' maklumat yang cepat, tepat dan betul.

"Rakyat kini mahukan maklumat yang cepat dan betul," tambahnya.

Lutfi kata kebobrokan kerajaan ubah lanskap politik negara

Sementara Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman pula berpandangan media alternatif yang berteraskan internet bukanlah menjadi faktor utama kepada perubahan landskap politik tanah air.

"Bukan faktor blog tetapi kebobrokan kerajaan yang memerintah adalah menjadi faktor utama kepada apa yang berlaku," katanya.

Jelasnya, ia adalah disebabkan hanya sebilangan blog sahaja yang memberi kesan kepada pergolakan politik pilihan raya baru-baru ini.

"Lagipun, siapa sangatlah yang melayari laman-laman web dan blog tentang politik?

"Bagi saya, impak maklumat menerusi medium ini tidaklah sebegitu besar dan berkesan," ujarnya.

Dalam pada itu, Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Roslan Shahir pula menegaskan bahawa penggunaan blog dan laman web sebagai sumber maklumat pada pilihan raya umum baru-baru ini telah pun giat digunakan oleh pelbagai pihak.

"Namun, ia tidak mendapat pengiktirafan oleh mana-mana pihak sebelum ini sehinggalah keputusan pilihan raya diumumkan," katanya.

Menurutnya, keputusan yang mengejutkan banyak pihak itu sekaligus menjawab segala keraguan yang wujud di kalangan pemimpin parti-parti politik untuk menerima penggunaannya sebagai suatu medium yang tidak sewajarnya dinafikan keberkesanannya.

Blog semakin aktif bukti pengaruh besar

Dalam perkembangan lain, Pensyarah Jabatan Media Universiti Malaya, Dr. Abu Hassan Hasbullah dalam laporan kepada akhbar arus perdana berkata, Malaysia yang memiliki hampir 500,000 blog yang aktif menjadi bukti penggunaan blog sebagai sangat berkuasa dalam mempengaruhi pemikiran rakyat negara ini terutama mengenai politik.

Katanya, blog kini mempunyai jangkauan penyebaran maklumat sangat berkesan memandangkan jumlah pengguna Internet yang melayari web dan blog adalah sangat ramai setiap hari.

"Kajian pihak kami mendapati 70 peratus keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu dipengaruhi oleh maklumat yang dipaparkan dalam blog," katanya.

Dr. Abu Hassan berkata, kerajaan mengambil pendirian tidak mempedulikan maklumat dalam blog sebelum pilihan raya tetapi pembangkang bertindak sebaliknya.

Beliau berkata, pemimpin kerajaan kini juga boleh menggunakan blog untuk berkempen tetapi mereka perlu ingat bahawa masa sehingga 10 tahun diperlukan bagi membolehkan sesuatu blog itu mula dikenali ramai.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato' Johan Jaafar yang turut menyertai forum tersebut pula berpendapat, sesetengah blog begitu berpengaruh apabila menerima sehingga sejuta kunjungan dalam satu hari yang normal.

"Kalau pada hari-hari yang ada isu yang panas, jumlah kunjungan boleh mencecah antara tiga dan empat juta," katanya.

http://www.harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment