07 April 2008

Bekas PM dan PM, salah menyalah, rakyat menyampah, tak sabar tunggu Anwar memimpin PR di parlimen

Pak Lah minta BPR siasat bekas PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk menyiasat dakwaan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad campur tangan dalam pentadbiran badan kehakiman negara ketika menjadi perdana menteri.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak akan menutup mata atau melindungi Dr Mahathir jika terdapat bukti bahawa bekas Perdana Menteri itu pernah melakukan penyalahgunaan kuasa sepanjang 22 tahun memerintah negara.

"Bagi pihak kerajaan, dasar kita ialah kalau ada apa-apa tuduhan terhadap sesiapa pun, kalau ada bukti, kita tak akan pejam mata," katanya pada sidang media selepas Majlis Penerangan bersama Presiden Umno untuk jentera penerangan parti di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, semalam.

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas desakan aktivis dan pemimpin pembangkang supaya Dr Mahathir didakwa atas beberapa kesalahan yang didakwa pernah dilakukan bekas Perdana Menteri itu.

Desakan itu dibuat oleh bekas Repertoir Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Kebebasan Hakim dan Peguam, Datuk Param Cumaraswam; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan pengerusi Gerak Demokrasi dan Anti Korupsi Malaysia (Gerak), Ezam Mohd Noor.

Param dalam kenyataannya meminta siasatan dibuat terhadap Dr Mahathir yang didakwa campur tangan dalam siasatan BPR apabila beliau pernah mengarahkan satu fail ditutup.

http://www.bharian.com.my

Rupanya Umno kalah bukan kerana Dollah

Rupa-rupanya kenaikkan kos hidup yang menggila, kes jenayah yang melambung, rasuah, kronisma, nepotisma, salah guna kuasa, pimpinan yang longgar dan runtuh moralnya, diskriminasi, kepimpinan yang lemah semuanya bukan faktor utama kejatuhan Umno dan BN dalam PRU ke 12 lalu. Sekurang-kurangnya itulah pendirian terkini Presiden Umno Dollah Badawi.

Sesiapa yang mengikuti sidang akhbarnya selepas sesi khas bersama jentera penerangan Umno di PWTC siang tadi akan mendapati bahawa Dollah tiba-tiba menemui dua faktor baru yang baginya lebih utama dan besar menyumbang ke arah kekalahan partinya. Pertamanya kerana sabotaj dalaman, manakala keduanya bersandar pada gelagat dan aksi bekas bosnya, Tun Dr Mahathir.

Bermakna bukan Dollah yang silap, bukan juga menantunya Khairy, bukan mereka yang dikeliling-kelalangnya, bukan kegagalan mereka, bukan perangai mereka, yang silap dan perlu dipersalahkan adalah sabotaj orang-orang Umno sendiri disamping perangai Tun Dr Mahathir.
Kata Dollah akibat sabotaj orang-orang Umno, BN hilang 14 kerusi Parlimen dan 22 DUN di Kedah dan Perak yang dianggap selamat. Jika tiada sabotaj ini pastinya BN tidak hilang 2/3 majoriti di Dewan Rakyat dan pastinya juga Kedah dan Perak tidak jatuh ketangan Pakatan Rakyat. Dengan penemuan baru ini, Umno dijangka akan bertindak terhadap ahli-ahli mereka yang merupakan petualang dan penderhaka perjuangan keramat mereka. Ramailah nanti yang akan disembelih kerana mereka dan bukannya Dollah,rupa-rupanya yang mengakibatkan Umno kalah!

Begitu juga Tun Dr Mahathir, tindak-tanduk beliau mempertikaikan kepimpinan Dollah banyak menyumbang kearah ketidakyakinan rakyat terhadap Umno dan BN (begitulah yang Dollah mahu rakyat percaya). Buat pertama kali Dollah secara terbuka melepaskan kemarahannya terhadap Tun. Tun rupanya lebih teruk dari beliau, dan Dollah tahu segala-galanya. Apakah Tun juga akan disembelih selepas ini?

Anehnya Dollah tidak pula menyebut berkenaan kekalahan di Pulau Pinang dan Selangor. Tidak juga menyebut darihal kegagalan menebus kembali Kelantan setelah mencuba lima kali. Dollah juga tidak bertemu faktor baru kekalahan BN di beberapa kerusi di Pahang, Negeri Sembilan dan Johor. Mungkin kekalahan ditempat-tempat ini bukan kerana sabotaj dan Tun tetapi beliau, entahlah.

Kesimpulannya oleh kerana Umno dan BN kalah bukan kerana beliau, maka Dollah penuh yakin bahawa tidak ada sebab baginya untuk perlu berundur. Beliau akan kekal memimpin Umno, sesiapa sahaja yang mahu mencabar beliau mungkin akan dibariskan setaraf dengan petualang dan penderhakan tadi, juga akan disembelih. Jadi disamping membebaskan dirinya dari sebarang dosa lantaran kekalahan Umno dan BN itu, Dollah sekaligus memberi amaran kepada Ku Li dan sesiapa sahaja yang memiliki niat yang sama dengan Ku Li, bahawa mereka semua akan mati disembelih jika berani.

Mungkinkah dalam kegilaan menyembelih dan membunuh ini maka akan lebih ramailah yang akan cenderung kepada Pakatan Rakyat dan akhirnya impian membentuk kerajaan Persekutuan yang baru itu akan insyallah menjadi satu realiti? Sama-samalah kita ikutinya nanti.

http://n32.blogspot.com (Roslan SMS)

Umno tewas lagi jika Abdullah kekal

Ketika presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi penjelasan tentang ketewasan buruk BN dalam pilihanraya umum 8 Mac, Tun Dr Mahathir Mohamad terus menghalakan kritikannya kepada penggantinya itu.

"Kalau orang ini tidak ada (di tampuk kekuasaan), mereka (pengundi) akan kembali kepada Umno," katanya, selepas mengulangi kecaman kepada Abdullah dan "ahli keluarganya" dalam siri kritikan kedua minggu ini.

Dr Mahathir melancarkan siri pertama di sebuah hotel di Petaling Jaya awal minggu ini.

Beliau menjawab satu pertanyaan peserta yang ingin mengetahui langkah-langkah kedepan yang boleh diambil parti itu selepas kepemimpinan Abdullah dikatakan gagal menyelamatkan kemerosotan undi BN dan Umno baru-baru ini.

"Penerangan harus dibuat, termasuk cakap-cakap di kedai kopi," katanya, sambil menambah ahli Umno mesti memilih pemimpin yang berani bercakap, dan bukan tukang angguk.

Menjawab satu lagi soalan tindakan selanjutnya jika tiada pemimpin Umno berani mencabar Abdullah untuk jawatan presiden pada pemilihan agung Umno Disember ini, Dr Mahathir mencadangkan ahli berkempen bagi menjayakan mesyuarat khas (EGM) untuk memansuhkan sistem kuota pencalonan.

"Majlis Tertinggi boleh cadang agar buat EGM," katanya.

Bagaimanapun beliau sendiri melahirkan rasa ragu-ragu majlis ini boleh membuat cadangan itu kerana rata-rata ahlinya disifatkannya dipenuhi tukang angguk.

"Kita nak minta diadakan rapat umum supaya kita boleh bercakap sikit," tambahnya. "(Abdullah mendakwa) semua orang menyokong dia, kenapa dia takut?"

Selain Abdullah, sasaran kegemaran beliau termasuklah menantu perdana menteri dan naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

"Kalau kita benarkan menantu mentadbir negara, akan hancurlah negara kita," kata Dr Mahathir.

Sebelum itu, beliau mengulangi penjelasannya pada Selasa bahawa kekalahan teruk itu disebabkan ahli-ahli Umno sendiri mengalih sokongan kepada pembangkang sebagai satu "mesej" kepada kepemimpinannya.

"Tidak mungkin (pembangkang) menang banyak kalau orang Umno tidak mengundi parti lawan kerana (mereka) kecewa kepada kepemimpinan yang ada," katanya.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, dalam pertemuannya dengan ketua-ketua penerangan Umno negeri, Abdullah mendedahkan BN, khususnya Umno, tewas di 14 kerusi parlimen dan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) angkara sabotaj ahli-ahli sendiri.

Tanpa sabotaj itu, tambahnya, BN dapat mempertahankan penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Dalam pilihanraya umum lalu, BN mendapat 140 kerusi parlimen - kurang lapan kerusi untuk mendapatkan majoriti dua pertiga.

Umno tewas di 31 kerusi parlimen apabila hanya mampu mempertahankan 78 daripada 109 kerusi yang dimenanginya pada 2004.

Menurut Abdullah lagi, jika tidak berlaku sabotaj dalam kalangan ahli-ahli Umno di 22 kerusi DUN tersebut, BN tidak akan kalah di Kedah dan Perak.

Menurutnya, semua kerusi parlimen dan DUN terbabit merupakan "kawasan putih" dan BN tidak menghadapi masalah untuk memenanginya.

Dr Mahathir mengambil kesempatan hari ini untuk menjawab beberapa kritikan kepadanya dalam tempoh beberapa hari ini selepas serangan awalnya pada 1 April.

"Semua serang saya, dengan nada yang sama. Tentulah ada arahan," katanya dalam program 'Fikir-fikirkan Bersama Tun Dr Mahathir' di sebuah hotel di Ampang hari ini.

Menjawab kritikan ahli Majlis Tertinggi (MT) Datuk Ahmad Shabery Cheek, Dr Mahathir memulangkan paku buah keras dengan mengingatkan bahawa menteri penerangan itu sendiri terlibat dengan Parti Melayu Semangat 46 (S46) - parti yang dituduh punca perpecahan utama Umno.

"Dia lupa, dia datang daripada Semangat 46," kata Dr Mahathir, sambil menjelaskan bahawa beliaulah yang menghidupkan kembali Umno sehingga keahliannya kini lebih tiga juta orang selepas diharamkan susulan krisis pemilihan agung Umno 1987.

"Siapa yang memulihkan kembali Umno? Sambutan begitu baik, ada ahli tiga juta orang," tambahnya.

Kelmarin, Ahmad Shabery menggesa mantan presiden Umno itu tidak memecah-belahkan Umno sehingga parti itu diharamkan pada 1988.

Mengulas kenyataan Datuk Seri Zainuddin Maidin yang mendakwa bekas ketuanya itu turut menjadi faktor penyumbang prestasi buruk BN baru-baru ini, Dr Mahathir berkata ada pihak beranggapan "ahli Umno bodoh dan tidak pandai membuat pilihan."

Walaupun pada pilihanraya umum 1999 BN mengalami ketewasan teruk tetapi ia masih berjaya mempertahankan majoriti dua pertiga, katanya.

"Orang Cina memberi sokongan begitu kuat sekali. Orang Melayu kecewa kerana kes mata lebam (terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim). Orang Melayu kasihan tengok orang sakit... (Mereka) bukan mempertikai kepemimpinan saya," kata Dr Mahathir.

Kira-kira 600 penyokong Umno, termasuk beberapa pemimpin lama, menyertai majlis tersebut.

Turut berucap di majlis itu termasuklah bekas menteri besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid dan penganjur majlis, ketua cawangan Umno Pusat Bandar Taman Cempaka, Syed Saifuddin Syed Harman.

http://www.malaysiakini.com/news/80969

No comments:

Post a Comment