Saya tidak ada niat jadi Presiden UMNO atau Perdana Menteri - Mahathir
KUALA LUMPUR 6 April — “Saya tidak ada niat hendak menjadi Presiden Umno, sekali lagi atau Perdana Menteri untuk kali kedua, tetapi sebagai anggota Umno dan sebagai rakyat Malaysia saya berhak bersuara,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Bagaimanapun, kata bekas perdana menteri, beliau akan hanya bersuara apabila diundang menghadiri sesuatu majlis untuk berucap, dan “tidak akan menjalankan kempen bersendirian” untuk menyuarakan pendapatnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis
“Fikir-Fikir bersama Mahathir” anjuran Umno cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Bahagian Pandan di sini hari ini.
Dr Mahathir berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita sehingga bila beliau akan terus menyuarakan apa yang difikirnya perlu ditegur.
Ditanya perlunya Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah bercakap secara beradap mengenai isu Umno, beliau berkata: “Saya akan berhenti, Saya akan berhenti. Secara jujur saya akan berhenti jika mereka akan berhenti melakukan apa yang salah yang telah menyebabkan Umno mempamerkan prestasi buruk pada pilihan raya umum baru-baru ini.”
Dr Mahathir turut berkata pada zaman beliau memerintah beliau tidak pernah menyekat sesiapa untuk menyuarakan pendapat mereka malah semasa beliau dicabar Tengku Razaleigh bagi jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti itu pada tahun 1987, telah memberikan kebebasan kepada Tengku Razaleigh bersama pasukannya yang mencabar pelbagai jawatan dalam parti itu, termasuk Tun Musa Hitam yang pada masa itu mencabar timbalannya Tun Ghafar Baba.
Beliau juga berkata cadangannya supaya peraturan undi bonus bagi pertandingan jawatan dalam parti pada Disember depan dihapuskan adalah juga bagi mengelakkan politik wang dan tekanan daripada pihak tertentu.
“Kita nak calon tak beli undi sebab nak jadi calon (bagi merebut jawatan dalam Umno). Sebab untuk jadi calon seseorang itu kena dapat 60 bahagian,” katanya.
— BERNAMA
No comments:
Post a Comment