Kedatangan pemain Chelsea dibantah
PUTRAJAYA: Pendirian kerajaan harus konsisten ketika berhadapan dengan sebarang isu yang berkaitan dengan Israel kata wakil Perikatan Organisasi Islamik Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid.
“Cadangan membawa masuk pemain kelab bola sepak Chelsea yang merupakan warga Israel ke negara ini jelas menunjukkan kerajaan kita tidak konsisten dalam pendiriannya selama ini yang menghalang rakyat Malaysia untuk mengunjungi negara itu,” katanya di sini, Jumaat.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum bantahan membawa masuk pemain bola sepak warga Israel ke negara ini kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar melalui Ketua Penolong Setiausaha kementerian berkenaan.
Pengurus pasukan Chelsea, Avram Grant dan pemain pertahanan, Tal Ben Haim merupakan warga Israel dijanka beraksi di Malaysia Julai ini sebagai sebahagian jelajah musim panas kelab itu.
Azmi yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) meminta kerajaan agar bersikap tegas terhadap sebarang perhubungan dengan negara itu.
Beliau juga menyatakan bantahan terhadap pendirian yang dinyatakan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berhubung kemasukan dua warga Israel itu dan pandangannya mengenai isu politik dan sukan tidak boleh dicampur adukkan.
“Soal mencampur adukkan antara politik dan sukan tidak timbul kerana sebelum ini Amerika Syarikat juga pernah memboikot Rusia dalam satu acara sukan.
“Perkara yang sama juga berlaku kepada China yang menganjurkan Olympic Beijing kerana kezaliman republik itu kepada rakyat Tibet,” katanya.
Baginya, kezaliman yang yang dilakukan Israel kepada rakyat Palestin terutamanya di Semenanjung Gaza merupakan jenayah kemanusia yang sukar dimaafkan.
Penaklukan Palestin oleh Israel menyebabkan rakyat negara itu terpaksa menjadi pelarian di tanah air sendiri.
“Dasar penghapusan etnik (ethnic cleansing) yang dilakukan Israel sekarang ini menjadikan Semenanjung Gaza seperti ‘penjara’ terbesar di dunia,” jelasnya lagi.
Ketika ditanya tindakan selanjutnya, Azmi berkata jika bantahan yang dikemukan tidak mendapat perhatian kerajaan, satu bantahan secara besar-besaran akan dilakukan.
“Kalau bantahan ini ditolak, Perikatan ini akan menggembleng lebih ramai rakyat di luar sana untuk mengadakan protes dengan lebih agresif.
“Kita akan lihat bagaimana reaksi rakyat dan masyarakat umum mengenai isu ini,” tegasnya.
Tahun 1997 merupakan kali terakhir atlet Israel memasuki Malaysia ketika kejohanan kriket Trofi Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) yang mendapat bantahan hebat di Kuala Lumpur.
http://www.mstar.com.my
No comments:
Post a Comment