Umno perlu wujud blog saingi lawan: Mohd Ali
MELAKA: Semua pemimpin Barisan Nasional (BN) khususnya Umno diminta mewujudkan laman blog masing-masing bagi menyaingi 240 laman serupa yang dihasilkan pihak tertentu, majoritinya cenderung menyokong pembangkang.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata usaha itu sebagai menyokong langkah beberapa pemimpin Umno dan komponen BN lain yang mula mewujudkan laman blog masing-masing selepas pilihan raya umum ke-12.
Katanya, laman blog wajar diwujudkan segera bagi menerangkan aktiviti selain membolehkan masyarakat berinteraksi secara terus dengan pemimpin tanpa mengira waktu.
"Saya berpendapat tiba masanya bagi setiap pemimpin BN, tidak kira peringkat tertinggi hingga cawangan mewujudkan blog masing-masing. Saya sendiri sudah lama memiliki blog kerana cara ini dapat menyalurkan maklumat tepat, pantas dan boleh mengelak tumpuan hanya kepada blog anti kerajaan,'' katanya selepas menghadiri majlis taklimat ringkas pembangunan jalan raya negeri bersama Menteri Kerjaya, Datuk Mohd Zin Mohamed di Hotel Holiday Inn, di sini, petang semalam.
Ketua Menteri Melaka itu berkata, setakat ini Umno sudah mula menggunakan khidmat pakar dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk menghasilkan laman blog di kalangan pemimpin parti supaya dapat menangkis dakyah pelbagai blog yang rata-rata cenderung menyokong pembangkang.
"Keberkesanan blog jelas terbukti apabila ia berjaya mempengaruhi pandangan kelompok tertentu khususnya generasi muda yang lebih celik ICT," katanya.
Mohd Ali memuji langkah beberapa pemimpin BN termasuk bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Muhamad Khir Toyo mewujudkan blog sendiri.
http://www.bharian.com.my
No comments:
Post a Comment