30 April 2008

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berjaya menghalang cubaan seludup rokok keretek bernilai RM800,000

Keretek seludup RM800,000 dirampas

Kehadiran sebuah bot pancung yang mencurigakan di kawasan perairan Tanjung Sepat, Selangor, membawa kepada penemuan sejumlah keretek pelbagai jenama bernilai lebih RM800,000 dipercayai diseludup dari negara jiran dalam serbuan pagi kelmarin.

Cubaan menyeludup keretek terbabit dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan, Daerah Maritim (M) 4, berpangkalan di Pelabuhan Klang, selepas merampas 148 guni berisi rokok itu.

Ketua Penguatkuasa DM 4, Kapten Maritim Adon Shalan, dalam kenyataannya berkata, bot pancung terbabit pada mulanya cuba memecut selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum dipintas bot APMM dan diarahkan berhenti.

“Hasil pemeriksaan, didapati semua empat awak-awak warga Indonesia dalam bot pancung itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah dan mereka ditahan bersama barangan yang cuba diseludup.

“Semua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 atas kesalahan mengelak daripada cukai,” katanya.

Menurutnya, penahanan itu dilakukan anggota agensi berkenaan yang melaksanakan tugas rondaan dari perairan Tanjung Sepat hingga Sepang.

http://www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment