KUALA LUMPUR: Mengejutkan apabila kenderaan yang digunakan seorang ahli sindiket ketika cuba melarikan sekumpulan pelacur dipenuhi pelbagai pelekat kereta agensi penguat kuasa termasuk Jabatan Imigresen, polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Tindakan seorang tonto menggunakan pelekat penguat kuasa berkenaan dikatakan untuk memudahkan mereka meloloskan diri daripada ditahan pihak berkuasa.
Difahamkan, hasil siasatan mendapati semua pelekat kereta agensi penguat kuasa itu adalah asli dan menimbulkan keraguan dari mana pemilik kenderaan berkenaan memperolehnya.
Sewaktu serbuan dilakukan Jabatan Imigresen bersama Rela di sebuah pusat kesihatan di Jalan Changkat Thambi Dollah, petang kelmarin, ahli sindiket terbabit yang menyedari kehadiran anggota penguat kuasa cuba melarikan diri bersama 11 pelacur dengan menggunakan empat kereta.
Namun, tindakan lima lelaki itu untuk melarikan diri dapat dihidu sebelum dikepung dan ditahan sepasukan anggota penguat kuasa kira-kira jam 7 malam.
Dalam serbuan kali ke-16 di lokasi sama, seramai 37 wanita warganegara asing yang berusia dalam lingkungan 20 dan 27 tahun ditahan selepas didapati melakukan kerja tidak bermoral di pusat kesihatan terbabit.
Manakala, 24 wanita tempatan yang bekerja di premis terbabit turut ditahan namun dibebaskan sejurus pemeriksaan mendapati mereka mempunyai dokumen yang sah.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Imigresen, Datuk Ishak Mohamad, berkata operasi bersama yang dijalankan selama empat jam itu dilakukan 20 pegawainya dan 10 anggota Rela selepas menerima maklumat orang awam.
“Sebelas wanita ditahan dalam kereta dalam usaha melarikan diri manakala selebihnya ditahan ketika bersama pelanggan,” katanya.
Ishak berkata, mereka mendapat kerjasama penuh daripada pelanggan sewaktu menjalankan operasi dan ia memudahkan tugas pegawai yang membuat pemeriksaan.
“Jumlah tangkapan ini adalah yang terbesar membabitkan pekerja asing yang bekerja di pusat kesihatan dengan menawarkan khidmat seks.
“Lima tonto terbabit adalah antara sembilan yang ditahan termasuk seorang wanita tempatan bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, semua mereka ditahan mengikut Akta Peraturan Imigresen 33 (B) 1963 yang jika disabitkan kesalahan akan dikenakan denda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.
http://www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment