18 March 2008

Tiada Upacara Angkat Sumpah hari ini - Terengganu masih belum ada Menteri Besar

Kuala Terengganu , 18 Mac – Upacara angkat sumpah jawatan Menteri Besar Terengganu masih samar-samar dan tiada petunjuk ia akan diadakan hari ini, walaupun akhbar media perdana melaporkan kelmarin majlis itu dikatakan akan berlangsung Selasa, namun sehingga lewat petang ini tiada pihak dapat mengesahkan tarikhnya.
Buletin Online dimaklumkan bahawa Tuanku Sultan Mizan tidak meletakkan jadual kerangkatannya hari ini(18/3) manakala anakandanya Tengku Muhammad dimaklumkan ada di Singapura. Sumber-sumber yang rapat dengan istana yang sepatutnya menghubungi Buletin Online, tidak berbuat demikian sehingga lewat semalam.

Akhbar media perdana yang melobi Idris Jusoh supaya meneruskan khidmatnya sebagai Menteri Besar melaporkan Idris mempunyai jadual yang agak padat esok sekali gus memberi petanda bahawa tiada upacara angkat sumpah jawatan akan berlangsung.

Jika upacara angkat sumpah masih tidak diadakan esok, bermakna Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang masih belum mempunyai Menteri Besar selepas sepuluh hari Pilihan Raya Umum Ke-12 berakhir.

Sehingga pukul 6.30 petang kelmarin, tiada petunjuk jelas mengenai persediaan bagi mengadakan majlis itu. Semua pihak yang dihubungi enggan mengulas mengenai perkara itu dan meminta pihak media menunggu sehingga pengumuman dibuat oleh pihak istana.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong pula dilaporkan enggan menjawab sebarang soalan berkaitan dengan isu itu.

http://buletinonline.net

No comments:

Post a Comment