KUALA LUMPUR 9 Mac — “Kami tidak menjangka keputusan pilihan raya ini akan jadi begini,” kata Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting hari ini, semasa ditanya mengenai prestasi buruk parti itu pada pilihan raya semalam yang menyaksikan ia mengalami kekalahan teruk, menang hanya 15 daripada 40 kerusi parlimen yang ditandinginya.
Parti komponen kedua terbesar Barisan Nasional (BN) itu mengalami kekalahan yang cukup memalukan apabila ia kalah di semua kerusi yang ditandinginya di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Pada pilihan raya 2004, MCA menang 31 daripada 40 kerusi parlimen yang ditandinginya.
“Kami sudah cuba sebaik mungkin, sedaya upaya. Kami tidak sangka begini jadinya, begini teruk,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Biro Politik di Wisma MCA di sini hari ini.
Ditanya mengenai maklumat terperinci berhubung penilaian terhadap keputusan pilihan raya itu, Ong berkata, biro politik masih dalam proses menganalisa keputusan itu, yang menurutnya berpunca daripada gabungan pelbagai faktor.
Ong bagaimanapun enggan mendedahkan faktor yang dimaksudkannya, sekadar berkata ia mempunyai kaitan dengan rasa tidak puas hati kaum Cina terhadap kerajaan. — Bernama.
No comments:
Post a Comment