30 March 2008

Suruhanjaya pilih hakim -- Ia senaraikan calon termasuk pengganti Ketua Hakim Negara – Zaid

PETALING JAYA 29 Mac – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berharap pelantikan pengganti Ketua Hakim Negara, Datuk Abdul Hamid Mohamad yang akan tamat tempohnya Oktober ini dilakukan melalui sebuah suruhanjaya.

Beliau berkata, langkah tersebut amat mustahak untuk memulihkan keyakinan rakyat kepada sistem kehakiman negara apabila pelantikan hakim dapat dilakukan melalui satu proses yang lebih telus, ketat dan meyakinkan.

Katanya, ini kerana apabila adanya suruhanjaya, seseorang calon itu akan dikaji dan disiasat kebolehan, rekod serta moral oleh suruhanjaya yang dianggotai wakil daripada pelbagai bidang yang terlibat dalam undang-undang.

“Ini sangat penting kerana proses pelantikan dan kenaikan pangkat seseorang hakim sekarang, sesiapa pun tidak boleh persoalkan nama yang dipilih.

“Dalam tempoh masa agak singkat ini, saya akan berusaha keras supaya suruhanjaya dapat ditubuhkan bermula dengan pelantikan Ketua Hakim Negara sebelum diikuti dengan yang lain-lain,’’ katanya kepada wawancara khas Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Abdul Hamid yang menggantikan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim sejak 1 November tahun lalu akan mencapai umur persaraan pada 17 Oktober ini.

Menurut Zaid, kuasa Perdana Menteri dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung pelantikan hakim akan kekal di sebalik penubuhan suruhanjaya itu.

‘‘Cuma proses yang akan berubah. Misalnya nanti tidak bolehlah Ketua Hakim Negara yang putus siapa yang naik pangkat macam itu sahaja sebaliknya kena bawa bincang dalam suruhanjaya untuk diteliti.

“Proses ini untuk menjadikannya telus dan apabila nama itu naik kepada Perdana Menteri, Perdana Menteri boleh nilai nama yang diserahkan,’’ jelasnya.

http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment