05 March 2008

SPR Batal Cadangan Guna Tanda Dakwat Di Kuku Atau Jari Tangan Pengundi

PUTRAJAYA, 4 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini membatalkan cadangan menggunakan tanda dakwat kekal di kuku atau jari tangan pengundi pada pilihan raya umum Sabtu ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika mengumumkan perkara itu berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat hari ini berasaskan nasihat dari segi perundangan serta aspek ketenteraman dan keselamatan awam.

"Hasil siasatan terhadap laporan yang dibuat kepada pihak polis, mengesahkan bahawa terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah membeli dakwat dari luar negara bagi menjalankan aktiviti memujuk dan menyogok orang yang kurang faham mengenai penggunaan dakwat itu untuk dicalit sebelum hari mengundi.

"SPR berasa amat dukacita atas keputusan yang dibuat ini. Namun begitu, demi menunaikan kewajipan dan tanggungjawabnya dalam menjamin kelancaran proses pengundian serta ketenteraman serta keselamatan awam, SPR perlu mengambil keputusan tegas dan muktamad ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPR di sini hari ini.

Turut hadir ialah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan. SPR sebelum ini mengumumkan cadangan menggunakan dakwat khas dari India itu untuk menanda kuku atau jari pengundi bagi mengelak penipuan pada pilihan raya umum.

Tanda dakwat itu bagaimanapun tidak terpakai bagi pengundi pos yang perlu membuat pelbagai pengisytiharan bagi menentukan kesahihannya.

Tanda dakwat berwarna hitam yang membabitkan kos kurang daripada RM1 juta itu bertujuan memuaskan hati semua pihak memandangkan selepas pilihan raya umum 2004, terdapat pelbagai desakan oleh beberapa parti politik supaya SPR melaksanakan suatu kaedah bagi menyekat perbuatan yang dianggap sebagai penipuan dalam proses pengundian.

Abdul Rashid berkata kegiatan itu (mengecat kuku) dikesan berlaku terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi menimbulkan kekeliruan dan syak wasangka mengenai status pengundi berkenaan.

"Mereka ini mungkin dianggap sebagai telah mengundi apabila datang pada hari pengundian. Selain itu, kemungkinan terdapat di kalangan pengundi yang terpedaya itu tidak keluar mengundi kerana takut dianggap telah melakukan kesalahan.

"Sekiranya pengundi-pengundi itu hadir mengundi, sudah tentu akan timbul keraguan di kalangan ejen calon dan petugas SPR mengenai status pengundi-pengundi berkenaan. Ini boleh menyebabkan tercetusnya kekecohan di tempat-tempat mengundi yang mungkin sukar dikawal jika berlaku secara berleluasa," katanya.

Berikutan itu katanya SPR memandang serius keadaan itu kerana proses pengundian dan ketenteraman serta keselamatan awam tidak boleh sekali-kali dikompromi.

Abdul Rashid turut berharap tuduhan tidak dilemparkan terhadap SPR berikutan keputusan itu yang sememangnya tidak dapat dilaksanakan berikutan keadaan yang tidak mengizinkan.

"SPR mahu menjadikannya (dakwat) sebagai sebahagian daripada sistem, namun keadaan tidak mengizinkan. Jadi kena sabar.

"Jangan tuduh SPR tak mahu buat kerana SPR mahu buat apa sahaja sebab kita tahu tidak akan ada penipuan tetapi orang masih kata ada penipuan, namun saya tidak pernah terima sebarang bukti berlaku penipuan.

"Bagi menyakinkan mereka ini, saya perlu penuhi permintaan supaya kita laksanakannya sekarang memandangkan negara lain turut melaksanakannya, mengapa tidak kita," katanya.

Ditanya mengapa keputusan menggunakan tanda dakwat dibuat sebelum ini, beliau berkata: "Ia sebahagian daripada usaha kami kerana kami diminta melaksanakannya, apa cara pun yang boleh kami lakukan bagi menyakinkan rakyat supaya tiada penipuan dalam pilihan raya.

Selain itu, Abdul Rashid berkata pembatalan itu juga disebabkan peruntukan undang-undang perlu digubal bagi mengadakan peruntukan yang membenarkan pengundi yang kukunya telah dicalit dan pengundi yang enggan berbuat demikian, diberikan kertas undi.

Beliau berkata sekiranya tanda dakwat itu hendak diperkenalkan, ia tidak boleh menjejaskan hak pengundi untuk mengundi selaras dengan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang bermakna hak pemilih berdaftar tidak boleh dinafikan kecuali jika pemilih berdaftar itu hilang kelayakan untuk mengundi mengikut undang-undang.

Katanya peruntukan undang-undang yang perlu digubal didapati tidak akan mencapai maksud asal SPR memperkenalkan penggunaan tanda dakwat itu yang berdasarkan cadangan asalnya, seseorang yang kukunya telah dicalit dengan dakwat tidak boleh diberi kertas undi.

"Dari sudut praktiknya, jika SPR masih perlu memberikan kertas undi kepada pengundi yang sedemikian, kaedah tersebut tidak akan membawa makna atau memberi kesan positif, malah berpotensi besar menimbulkan perselisihan faham serta pertengkaran dan pergaduhan di tempat mengundi," katanya.

Sambil menegaskan bahawa keputusan itu dibuat tanpa sebarang tekanan daripada parti politik, beliau berharap semua pihak menerimanya dengan hati terbuka demi keselamatan pengundi.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment