19 March 2008

Setiausaha Agung UMNO yang Digugur dari Kabinet, Letak Semua Jawatan Parti

Radzi didesak Pak Lah untuk letak jawatan

Oleh Ruhanie Ahmad

Beberapa pihak, termasuk segolongan pembaca blog ini, menganggap Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad meletakkan jawatan Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana kecewa tidak dilantik sebagai menteri.

Hakikat sebenarnya bukan begitu. Sumber-sumber berwibawa memberitahu blog ini petang ini, Radzi mengosongkan kedua-dua jawatan di atas berkuatkuasa hari ini, kerana beliau didesak berbuat demikian oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sebabnya tidak jelas. Tetapi, sumber-sumber berkenaan menyatakan bahawa Radzi dikatakan telah dituduh oleh Abdullah sebagai “mempunyai agendanya yang tersendiri di dalam UMNO.”

Sebab itulah agaknya dalam laporan BERNAMA, Radzi “tidak menafikan bahawa beliau menerima tekanan.”

Sebab itulah juga laporan BERNAMA hari ini mememetik Radzi sebagai “menolak anggapan bahawa keputusannya itu dibuat setelah kecewa kerana tidak dipilih menganggotai semula kabinet” ataupun “mempunyai hubung kait dengan kemelut UMNO di Perlis yang turut menyaksikan Datuk Seri Shahidan Kassim tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar.”

Sumber-sumber lain pula memberitahu blog ini bahawa perletakan jawatan Radzi adalah “sebahagian daripada percaturan politik pihak-pihak yang mendominasikan Abdullah selama ini.”

Kata sumber-sumber itu lagi, “ini kerana ada pihak mendapati Radzi sebagai batu penghalang utama kepada beberapa usaha yang mahu dilaksanakan oleh pihak terbabit menerusi UMNO.”

Siapakah pihak-pihak berkenaan? Mengapakah Abdullah seolah-olah akur kepada mereka? Apakah bentuk “usaha” yang mahu mereka laksanakan menerusi UMNO, tetapi tertangguh akibat Radzi sebagai penghalang utamanya?

http://www.detikdaily.net

"Saya tak lagi boleh bekerja dengan Pak Lah" - Radzi Sheikh Ahmad

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad yang digugurkan dari barisan kabinet yang baru dibentuk mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional (BN) berkuatkuasa hari ini.

Bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri itu berkata beliau tidak dapat bekerja secara efektif sebagai Setiausaha Agung kerana tidak lagi berada dalam kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam.

"Saya rasa saya tidak boleh lagi bekerja. Pertamanya saya tidak lagi berada dalam kabinet jadi saya tidak boleh bekerja dengan berkesan sebagai Setiausaha Agung ... saya tak boleh kerja," katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Radzi berkata keputusannya itu telah dimaklumkan kepada Abdullah yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN melalui telefon pagi ini dan menerusi sepucuk surat rasmi.

Perdana Menteri telah menerima peletakan jawatan beliau, katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Abdullah kerana telah memberinya peluang berkhidmat kepada parti sebagai Setiausaha Agung selama empat tahun.

"Saya harap Umno terus maju di bawah kepimpinan presiden parti. Saya akan terus memberi bantuan dalam apa cara sekali pun," katanya.

Radzi menewaskan Tunku Abdul Rahman Tunku Ismail dari Parti Keadilan Rakyat di kawasan Parlimen Kangar dengan majoriti 13,671 undi pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Beliau bagaimanapun menolak anggapan bahawa keputusannya itu dibuat setelah kecewa kerana tidak dipilih menganggotai semula kabinet.

"Dalam politik sentiasa ada orang mengambil alih. Tiada siapa yang kekal," katanya.

Beliau turut menafikan bahawa peletakan jawatan itu mempunyai hubung kait dengan kemelut Umno di Perlis yang turut menyaksikan Datuk Seri Shahidan Kassim tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar.

"Saya tidak fikir begitu. Saya gembira dengan kepimpinan di Perlis," katanya.

Beliau menyifatkan tempoh empat tahun sebagai Setiausaha Agung sebagai pengalaman yang menyeronokkan.

Radzi tidak menafikan bahawa beliau menerima tekanan, bagaimanapun menyifatkannya sebagai perkara biasa dalam politik.

Beliau berkata beliau telah melaksanakan tugasnya sebaik mungkin sejak dilantik sebagai Setiausaha Agung Umno dan BN pada 1 Jun 2004, yang antara lain berupaya menambah keahlian Umno dan memperkenalkan kad keahlian parti.

Mengenai penggantinya, Radzi berkata ia akan diputuskan Abdullah.

Mengenai rancangannya selepas ini, beliau yang menyertai Umno sejak 1973 berkata beliau akan menumpukan kepada tugasnya sebagai Anggota Parlimen Kangar selain membimbing wakil rakyat muda di kawasan itu.

Beliau meminta anggota parti menerima keputusannya meletak jawatan dengan hati terbuka dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan parti.

"Tolong jangan fikir, wujud perpecahan dalam Umno," katanya dan mengulangi pendiriannya sebelum ini bahawa pilihan raya kali ini merupakan penggal terakhir beliau menjadi wakil rakyat.

- http://www.detikdaily.net

Radzi letak jawatan SUA Umno, BN

Ahli parlimen Kangar, Datuk Radzi Sheikh Ahmad yang tidak dilantik semula ke kabinet, meletakkan jawatan sebagai setiausaha agung Umno dan Barisan Nasional (BN) berkuatkuasa serta-merta.

Beliau memberikan alasan tidak dapat lagi meneruskan tugas-tugas tersebut secara berkesan.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menerima peletakan jawatan tersebut.

"Saya rasa saya tidak boleh lagi bekerja.

"Pertamanya saya tidak lagi berada alam kabinet jadi saya tidak boleh bekerja dengan berkesan sebagai setiausaha agung ... saya tak boleh kerja," katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Radzi berkata keputusannya itu telah dimaklumkan kepada Abdullah,
yang juga presiden Umno dan pengerusi BN, melalui telefon pagi
ini dan menerusi sepucuk surat rasmi.

Perdana Menteri telah menerima peletakan jawatan beliau, katanya.

Tidak lama selepas keputusan Radzi, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang turut digugurkan daripada kabinet, dilaporkan dilantik setiausaha agung baru UMno dan BN.

Pengguguran Radzi daripada kabinet dipercayai ada kaitan dengan kekalutan politik Umno Perlis, khususnya berhubung pelantikan menteri besar.

Beliau didakwa memainkan peranan penting menaikkan wakil Bintong, Datuk Dr Md Isa Sabu, sebagai pengganti Datuk Seri Shahidan Kassim.

Pada penggal lepas, Radzi memegang jawatan menteri hal-ehwal dalam negeri.

Sebelum pilihanraya umum lalu, Radzi secara terbuka mengecam Shahidan yang menurutnya harus diganti.

Selain Radzi, ahli parlimen Padang Besar, Datuk Azmi Khalid juga tidak dilantik semula menganggotai kabinet yang diumumkan perdana menteri samalam.

Radzi bagaimanapun menafikan peletakan jawatannya ada kaitan dengan kemelut Umno di Perlis yang turut menyaksikan Shahidan tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar.

"Saya tidak fikir begitu. Saya gembira dengan kepimpinan di Perlis,"
katanya.

Radzi tidak menafikan bahawa beliau menerima tekanan, bagaimanapun enyifatkannya sebagai perkara biasa dalam politik.

Beliau dilahirkan pada 24 Februari 1942 di Jalan Pegawai, Kangar, Perlis. Beliau mendapatkan pendidikan awal di Sekolah Melayu Kangar sebelum meneruskan pendidikan di Maktab Tentera Diraja.

Pada 1961 beliau mengambil Barrister-at-Law, Inns of Court di Middle Temple, London.

Beliau pernah bertugas dengan perkhidmatan kehakiman sebagai timbalan pendakwa di Selangor dan kemudian presiden Mahkamah Sesyen di Klang. Kemudian beliau meninggalkan perkhidmatan kehakiman dan membuka firma guamannya sendiri.

Kerjaya beliau dalam politik bermula apabila menang di kerusi Kangar pada 1982 dan dilantik sebagai setiausaha parlimen Kementerian Pertanian.

Pada tahun 1989, beliau menyertai Parti Melayu Semangat 46 selepas Umno diharamkan dan beliau dipecat daripada Umno.

Beliau kemudian menyertai semula Umno pada tahun 1990 selepas keluar daripada parti serpihan Umno itu dan dipilih bertanding semula di kerusinya kini pada 2004.

Selepas itu, Radzi dilantik menteri di Jabatan Perdana Menteri dan kemudiannya Menteri Dalam Negeri pada 2006.

Beliau dilantik sebagai setiausaha agung Umno pada 1 Jun 2004 menggantikan Tun Mohd Khalil Yaakob yang dilantik sebagai Yang Di-Pertua Negeri Melaka.

- Malaysiakini

No comments:

Post a Comment