Krisis 1988: Zaid jawab Dr M
Selepas dihentam Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Zaid Ibrahim menafikan beliau menyokong pemecatan ketua hakim negara waktu itu Tun Salleh Abbas.
Dr Mahathir membidas Zaid, waktu sebagai presiden Persatuan Peguam Islam, yang dianggapnya "telah lupa" dan "mahu menjadi mahu menjadi lebih betul daripada betul" berhubung isu tersebut.
"Orang yang meminta kerajaan memohon maaf terhadap apa yang berlaku kepada Tun Salleh Abbas mungkin telah lupa bahawa ketika menjadi presiden Persatuan Peguam Islam, beliau (Zaid) menyokong sepenuhnya tindakan yang diambil ketika itu.
"Beliau menyelar Majlis Peguam kerana mengecam Tun Hamid Omar berhubung pemecatan hakim-hakim terbabit. Sekarang beliau mahu menjadi 'lebih betul daripada betul', saya bertanya-tanya mengapa," kata bekas perdana menteri itu dalam surat terbukanya, mengulas isu perundangan antara Sultan Terengganu dengan perdana menteri yang diterbitkan semalam.
Zaid berkata, beliau tidak menyokong pemecatan Salleh tetapi membantah bekas ketua hakim itu mempengerusikan tribunal yang sedang menghakiminya, lapor The Star Online, dan sewajarnya timbalannya Tun Hamid Omar mengetuai pengadilan tersebut.
Walaupun sah di sisi perundangan bagi Hamid berbuat demikian tetapi dari segi moral tindakannya itu salah, kata Zaid lagi.
"Saya tidak ingat pernah menyokong asas pemecatan (Salleh) itu adil atau saksama. Malah, saya katakan hari ini ia adalah salah," beliau dipetik sebagai berkata.
Jadi, tambahnya, salah untuk mengaitkan kenyataannya membantah tindakan Majlis Peguam memulau prosiding yang melibatkan Hamid dengan usaha menyokong pemecatan Salleh.
Menurut laporan itu, Zaid berkata beliau mengemukakan saranan permohonan maaf kepada Salleh dan reformasi sistem kehakiman bukan kerana jawatan kabinetnya sekarang tetapi pernah menyuarakan perkara yang sama beberapa kali sebelum ini, termasuk di Dewan Rakyat.
"Jika saya pernah berbuat sesuatu yang melukakan Tun Salleh dan hakim-hakim lain (yang dipecat dan digantung), atau menulis sesuatu yang menunjukkan saya juga pernah menyokong (pemecatan) itu, saya moho maaf.
"Saya pernah meminta maaf di Parlimen sebelum ini. Dan saya kini memohon kerajaan untuk mempertimbangkannya sekarang," kata Zaid seperti dilaporkan.
http://www.malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment